TESCO Malaysia mengambil lebih ramai rakyat tempatan bekerja di cawangannya dengan sasaran 100 peratus tenaga kerja dalam kalangan warga tempatan menjelang November depan.

Tesco Malaysia dalam satu kenyataan berkata, dalam usaha mematuhi dasar kerajaan mengenai pengambilan pekerja asing, pihaknya secara beransur-ansur mengurangkan jumlah kontrak perkhidmatan dengan agensi bagi memberi ruang kepada warga tempatan.

“Di Tesco, semua kakitangan dilayan sama rata dan kami komited memastikan kakitangan warga asing disokong sepanjang proses ini dilaksanakan.

“Kami ada pendekatan sifar toleransi untuk sebarang eksploitasi dan terus bekerjasama secara telus dengan pembekal, badan bukan kerajaan dan pihak berkepentingan lain untuk menyiasat dan membanteras sebarang perhambaan moden dalam operasi dan rantaian bekalan kami,” katanya kepada Bisnes Metro, semalam.

Menurutnya, sejak awal tahun ini, pihaknya bekerjasama rapat dengan agensi untuk memastikan gaji dan faedah pekerja migran selaras undang-undang pekerja Malaysia.

“Kami juga pastikan taraf penginapan mereka ditingkatkan selain pasport boleh diakses dengan bebas apabila diperlukan.

“Semua pekerja ada akses kepada badan pelindung bebas bagi mengetengahkan sebarang masalah dan kami kini dalam proses menyelesaikan yuran pengambilan pekerja asing,” katanya.

Tesco Malaysia kini ada lebih 7,000 pekerja di 60 cawangan dan dua pusat pengedaran di Semenanjung.

Berdasarkan laporan portal tempatan, Tesco sebelum ini berhadapan kontroversi melakukan penganiayaan terhadap pekerja asing mereka.

Dalam laporan perhambaan moden tahun ini, rangkaian pasar raya yang berpangkalan di United Kingdom itu dikatakan melakukan penganiayaan seperti menahan pasport, mengurangkan gaji secara tidak sah, selain pekerja migran berhutang dengan broker pengambilan pekerja di negara asal.

Berdasarkan data daripada temu bual 169 pekerja asing mendedahkan pasport 68 pekerja Indonesia dan 171 pekerja Nepal ditahan dan dipulangkan kepada pekerja berkenaan.