Kuala Lumpur: Bekalan makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka mencukupi biarpun sektor pertanian dan makanan dibenarkan beroperasi pada 50 peratus guna tenaga.

Ketua Laboratori, Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan (IKDPM) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, kapasiti pengeluaran kedua-dua sektor itu berada di tahap antara 65.1 sehingga 95.1 peratus walaupun hanya separuh guna tenaga digunakan.

Katanya, dianggarkan 2.12 juta pekerja sektor pertanian dan makanan di negara ini.

“Walaupun hanya 50 peratus penggunaan guna tenaga dibenar sepanjang PKP, kapasiti sebenar pengeluaran bergantung kepada intensiti pengeluaran sektor pertanian dan makanan, iaitu sama ada berintensifkan buruh atau berintensifkan modal.

“Bagi industri yang berintensifkan modal seperti perikanan dan akuakultur, pengurangan 50 peratus guna tenaga tidak memberi impak besar kepada pengeluarannya.

“Industri ini masih boleh beroperasi pada tahap 95.1 peratus dan bagi industri berintensifkan buruh seperti manisan, pengurangan 50 peratus guna tenaga menyebabkan ia beroperasi pada tahap 65.2 peratus saja.

“Maklumat kapasiti pengeluaran ini penting bagi menentukan bekalan makanan sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Menurutnya, secara teknikal, pengeluaran makanan tidak akan terjejas sepanjang tempoh PKP.

Beliau berkata, bekalan makanan akan terganggu jika pembelian panik dilakukan pengguna yang boleh menjejaskan pengeluaran dan pemasaran.

Selain itu, kekurangan bekalan input, penggunaan dan pemasaran oleh sektor lain turut menyumbang kepada gangguan bekalan.

Sementara itu, Penyelidik IKDPM, Chakrin Utit berkata, sektor bukan pertanian dan makanan memerlukan 30,881 pekerja dan beroperasi sekitar 2.7 peratus daripada kapasiti sebenar pengeluaran.

“Ini jumlah pekerja dan kapasiti pengeluaran diperlukan sektor lain untuk menyokong pengeluaran sektor pertanian dan makanan dalam tempoh PKP di sepanjang rantaian bekalan.

“Daripada jumlah pekerja ini, 16,807 pekerja diperlukan untuk menyokong aktiviti pembekalan input dan 14,074 pekerja diperlukan untuk penggunaan dan produk pertanian dan makanan,” katanya.