TESCO Stores (Malaysia) Sdn Bhd membuka dua lagi cawangan bulan ini iaitu di Teluk Intan pada hari ini dan pusat beli-belah Mines pada 17 Jun.

Dengan penambahan dua cawangan baharu itu, Tesco kini mengendalikan 62 cawangan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesco, Paul Ritchie berkata, pelancaran dua cawangan baharu itu melambangkan pertumbuhan bukan sahaja untuk jenama Tesco, tetapi juga prospek untuk memperkaya kehidupan masyarakat.

“Melalui nilai No One Tries Harder for Customer, kami percaya dapat memberi kemudahan, pilihan dan nilai untuk wang lebih besar serta kemudahan lebih baik untuk pelanggan kami,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, pembukaan Tesco Teluk Intan sangat bermakna memandangkan hampir satu dekad sejak Tesco membuka cawangan terakhir yang berpangkalan di Perak iaitu Tesco Seri Iskandar pada 2011.

“Perak menjadi pasaran menarik untuk Tesco. Ekonominya rancak dan keyakinan tinggi pengguna menjadikan negeri ini sebagai destinasi pilihan.

“Sejak pelancaran cawangan pertama di Perak melalui Tesco Ipoh pada 2005, kami bekerja keras untuk memberikan layanan lebih baik dan menjadi peruncit pilihan pelanggan di negeri ini.

“Pembukaan cawangan seluas 3,000 meter persegi di bandar Teluk Intan yang bersejarah adalah kesinambungan dari nilai yang kami tawarkan kepada bukan sahaja penduduk Perak, tetapi rakyat Malaysia secara umumnya,” katanya.

Termasuk Tesco Teluk Intan, Tesco kini mengendalikan lapan cawangan di negeri utara itu iaitu Tesco Ipoh, Extra Ipoh, Kampar, Manjung, Stesen 18, Taiping dan Seri Iskandar.

Sementara itu, Tesco Mines yang terletak di kawasan berkepadatan tinggi Seri Kembangan hanya menyediakan kemudahan seluas 2,000 meter persegi.

“Ini kerana di lokasi ini, kebanyakan penduduk menginginkan cara membeli-belah barangan dapur secara cepat dan lancar.

“Penyelidikan pasaran kami menunjukkan pelanggan Lembah Klang kekurangan masa dan membeli-belah untuk keperluan harian dianggap tugasan.