LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan tempahan hampir RM113 juta dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ia susulan strategi inovatif yang dilaksanakan bagi mengatasi perubahan signifikan dalam keadaan semasa akibat pandemik Covid-19.

Pengarah Urusan Kumpulan LBS, Tan Sri Lim Hock San berkata, pandemik ini memberi kesan dan mengubah landskap perniagaan di seluruh dunia.

“Sebelum pelaksanaan PKP, LBS menggunakan platform digital untuk menjangkau bakal pembeli.

“Dengan memanfaatkan platform dalam talian kami yang merangkumi bilik pameran maya, laman web, e-mel, WhatsApp, Facebook, Instagram dan SMS, kami terus meraih jualan walaupun dalam tempoh PKP.

“Pada 3 Mei lalu, kami mendapat tempahan hampir RM113 juta dan dokumen jual beli akan ditandatangani selepas PKP dibatalkan.

“Setakat 15 April lalu, LBS melakukan penjualan tanpa bil sebanyak RM 1.846 bilion yang cukup untuk memberikan pendapatan syarikat untuk dua hingga tiga tahun ke depan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, sumbangan jualan utama adalah dari dua perbandaran utama, KITA @ Cybersouth dan LBS Alam Perdana.

Di samping itu, pembangunan hartanah lain seperti perbandaran Bandar Putera Indah, Johor dan Taman Kinding Flora di Chemor, Ipoh turut menyumbang kepada prestasi LBS yang mantap.

“LBS kekal komited dalam menyokong agenda perumahan kerajaan dengan melancarkan kempen pemasaran #DudukRumah Deals yang manawarkan bayaran muka serendah RM200 berserta pelbagai insentif daripada LBS,” katanya.