HOTEL Seri Malaysia berjaya mencatatkan peningkatan dalam kadar penghunian bilik di mana ada antara cawangannya merekodkan kadar 100 peratus pada hujung minggu.

Hotel Seri Malaysia dalam satu kenyataan berkata, ia kembali beroperasi sepenuhnya pada 10 Jun lalu berlandaskan garis panduan yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kadar purata penghunian bilik hingga 15 Julai lalu dicatatkan pada 47 peratus dengan purata harga bilik RM100.

“Cawangan di Kuala Terengganu, Port Dickson, Mersing dan Bagan Lalang mencapai 100 peratus kadar penghunian bilik pada hujung minggu lalu dan 12 cawangan Hotel Seri Malaysia lain melebihi 50 peratus sehingga 95 peratus kadar penghunian pada tempoh sama,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, bagi separuh pertama tahun ini, kadar purata penghunian bilik 24 peratus berbanding 39 peratus bagi tempoh sama tahun lalu dengan kadar purata harga bilik RM104 bagi tahun ini dan RM107 tahun lalu.

Hasil pendapatan keseluruhan separuh pertama tahun ini menurun sebanyak 44 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Hotel Seri Malaysia menawarkan promosi pada kadar terendah sebanyak RM88 bagi penginapan bilik standard dua hari satu malam termasuk sarapan pagi untuk dua orang yang berakhir pada 31 Ogos depan.