Kuala Lumpur: Usaha kerajaan untuk memastikan 100 peratus pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk pengeluaran minyak sawit akan menyaksikan Malaysia bergerak menuju Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2030.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, permintaan terhadap minyak sawit mampan dijangka terus meningkat.

Malah, katanya, Kesatuan Eropah (EU), antara pengimport utama minyak sawit Malaysia menyatakan hanya minyak sawit mampan yang dapat memasuki pasaran Eropah.

“Pensijilan MSPO akan memastikan produktiviti lebih tinggi, hasil berkualiti, akses lebih besar ke pasaran antarabangsa dan seterusnya menyumbang kepada pendapatan yang lebih tinggi, terutama bagi pekebun kecil.

“Kerajaan sudah menyediakan insentif kepada pekebun kecil untuk memastikan pensijilan MSPO yang meliputi biaya pensijilan, latihan MSPO, penyediaan rak penyimpanan bahan kimia, dan penyediaan peralatan pelindung diri (PPE).

“Sebenarnya, keseluruhan kos pensijilan MSPO untuk pekebun kecil ditanggung oleh kerajaan. Kerajaan juga sudah mengumumkan peruntukan RM20 juta dalam Belanjawan 2021 untuk pelaksanaan persijilan MSPO kepada pekebun kecil.

“Justeru, pekebun kecil persendirian yang belum mendapatkan pensijilan MSPO digesa mendaftar dengan MPOB untuk tujuan pensijilan,” katanya.

Menurutnya, kegagalan pekebun kecil mendaftar pensijilan MSPO menyebabkan mereka berdepan tindakan undang-undang termasuk pembatalan lesen MPOB.

Beliau berkata, pelaksanaan MSPO menyedia peluang lebih besar untuk semua, meningkatkan taraf hidup dan keselamatan pekerja serta pengurusan sumber alam semula jadi yang lestari.

Selain itu, skim pensijilan ini menyediakan prinsip umum untuk pengeluaran minyak sawit mampan yang merangkumi tunggak kelestarian manusia dan alam sekitar.

“Oleh itu, pengeluaran minyak sawit mampan tidak membabitkan penebangan hutan, penanaman di gambut dan eksploitasi pekerja.

“Hasil dari pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta agensi di bawahnya, skim pensijilan MSPO kini mendapat pengiktirafan global.

“Malah, kejayaan terbesar ialah apabila skim itu mendapat pengiktirafan daripada Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai salah satu kod sumber perolehan minyak sawit mampan untuk sukan itu.

“Malaysia juga mula mengeksport minyak sawit mampan bersijil MSPO ke Jepun menerusi syarikat Mewah Oils Sdn Bhd. Kini, permintaan minyak sawit dengan sijil MSPO, daripada Jepun sedang meningkat,” katanya.