PENURUNAN kadar dasar semalaman (OPR) kepada 1.75 yang diumumkan baru-baru ini perlu dimanfaatkan oleh semua pihak terutama bagi mereka yang mahu mendapatkan pakej pembiayaan kompetitif.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, penurunan OPR ini dilihat memberi kelebihan kepada rakyat.

Katanya, ini kerana kos pinjaman menjadi murah dan memungkinkan peminjam membiayai semula hutang sedia ada dengan komitmen bulanan baharu lebih rendah.

“Selain itu, bagi kemudahan pinjaman dengan kadar berubah, bayaran ansuran bulanan bakal dikurangkan akibat pengurangan OPR itu.

“Bagi mereka yang mencari rumah, pakej pembiayaan perumahan yang lebih kompetitif membantu dalam meringankan beban komitmen kewangan yang bakal ditanggung selepas permohonann pinjaman itu diluluskan.

“Malah, penjimatan daripada bayaran bulanan boleh meningkatkan pendapatan boleh guna.

“Perkara ini boleh merangsangkan perbelanjaan swasta yang menjadi komponen penting dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Menurutnya, ada kemungkinan OPR diturunkan lagi terutama jika ekonomi tidak pulih dalam tempoh diharapkan terutama akibat impak pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi global.

Bagaimanapun, menurutnya Bank Negara Malaysia (BNM) sentiasa memantau situasi ini dan bertindak mengikut kesesuaian.

“Dengan penurunan OPR ini, seharusnya dapat merangsang kegiatan ekonomi yang dijangka boleh mencatatkan pertumbuhan positif seawal suku keempat 2020.

“Selain OPR, dasar fiskal yang mengembang juga membantu dalam merancakkan kegiatan ekonomi negara,” katanya.

Empat hari lalu, BNM menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan menurunkan lagi OPR 0.25 peratus kepada 1.75 peratus, paras terendah sejak 2004.

Berikutan itu, kadar siling dan lantai koridor OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.00 peratus dan 1.50 peratus.