Kuala Lumpur: SP Setia Bhd mengumumkan barisan kepemimpinan baharunya bagi menggantikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Khor Chap Jen serta Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (COO), Datuk Wong Tuck Wai yang bersara 30 September depan.

Pemaju hartanah terkemuka negara itu dalam satu kenyataan berkata, Ahli Lembaga Pengarah menamakan Datuk Choong Kai Wai sebagai pengganti Chap Jen dan Datuk Koe Peng Kang sebagai pengganti Tuck Wai berkuatkuasa 1 Oktober depan.

“Keputusan Lembaga Pengarah ini dibuat berdasarkan rancangan penggantian yang juga sebahagian daripada agenda bakat kepemimpinan syarikat yang dilaksanakan berdasarkan perbincangan kepemimpinan kukuh dalam kumpulan.

“Pelan penggantian ini untuk mengekalkan kedudukan kepemimpinan SP Setia sebagai pemaju hartanah terkemuka di Malaysia,” katanya.

Menurut syarikat itu, Chap Jen, dilantik sebagai pemangku CEO pada 1 Januari 2015 sebelum mengambil alih sepenuhnya jawatan itu pada 1 April 2016 dengan mandat yang jelas iaitu untuk kembali meletakkan SP Setia dalam kedudukan terbaik di pasaran.

Katanya, di bawah kepemimpinan Chap Jen, SP Setia merangkul banyak anugerah termasuk Anugerah FIABCI Prix d’Excellence, yang mempamerkan komitmennya terhadap produk berkualiti tinggi dan sentiasa lebih maju ke depan berbanding pesaing.

“Beliau juga memainkan penting dalam kejayaan melengkapkan proses integrasi susulan daripada pengambilaihan I&P Group Sdn Bhd oleh SP Setia pada 2017,” katanya.

Mengulas mengenai bakal pengganti Chap Jen, pemaju itu berkata, Kai Wai mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam industri hartanah dan pembinaan daripada peranan kepemimpinan perniagaan sehingga ke teknikal.

Katanya, beliau mempunyai ijazah Kejuruteraan Elektrik (Kepujian) dari The City University London dan ketika ini adalah Naib Presiden Eksekutif SP Setia menerajui pasaran Australia.

“Beliau menyertai SP Setia pada Mei 2010 sebagai CEO Setia (Melbourne) Development Pty Ltd dan sejak dari itu mengembangkan perniagaan syarikat di Australia dan meletakkan kedudukan jenama Setia dengan kukuh dalam pasaran hartanah Australia,” katanya.

Sementara itu Pengerusi SP Setia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail berkata, beliau mempunyai keyakinan tinggi Kai Wai akan meneruskan daya kepemimpinan yang tinggi susulan pengalaman meluasnya dalam kepemimpinan dan perniagaan di peringkat domestik dan antarabangsa.

“Pengalamannya di peringkat antarabangsa akan menambah perspektif baru untuk mengembangkan perniagaan kami di luar Malaysia ketika syarikat melihat ke arah mempelbagaikan dan mengembangkan SP Setia menjadi pemain perniagaan global, melengkapkan pelaburan serantau serta global semasa,” katanya.