KHAZANAH Nasional Berhad, sayap pelaburan kerajaan Malaysia mengkaji untuk menyuntik dana sehingga RM5 bilion kepada Malaysia Airlines Bhd.

Ia bagi membantu syarikat penerbangan nasional itu menangani kesan penularan Covid-19 yang menyaksikan penurunan ketara tempahan perjalanan, demikian mengikut individu yang mengetahui mengenai perkara berkenaan.

Malaysia Airlines menggunakan dana berkenaan untuk meneruskan operasinya yang sebelum ini digantung, katanya.

Jika diluluskan, suntikan tunai itu dilaksanakan dalam beberapa minggu akan datang, kata sumber berkenaan yang enggan dikenali susulan maklumat itu adalah sulit.

Wakil Malaysia Airlines berkata, perbincangan sedang berlangsung dengan Khazanah yang sentiasa menyokong usaha menangani kesan pandemik Covid-19, namun tiada jumlah dana tertentu diberikan untuk syarikat penerbangan berkenaan.

Wakil Khazanah pula enggan mengulas mengenai perkara itu.

Malaysia Airlines yang bergelut untuk menjana semula keuntungan sejak Khazanah menjadikannya syarikat persendirian pada 2014 bakal menyertai syarikat penerbangan global yang menerima bantuan atau talian hayat daripada pemegang saham masing-masing.

Kerajaan di beberapa negara secara keseluruhannya bercadang menyuntik sehingga RM361.78 bilion untuk melonjak semula syarikat penerbangan masing-masing selepas wabak Covid-19 menyapu bersih permintaan perjalanan udara dan armada darat.

Syarikat penerbangan Malaysia itu berharap dapat keluar daripada belenggu perjalanan udara yang hampir kaku berikutan Covid-19, dan tentu keadaan menjadi berbeza selepas ini.

Ia melantik Pengerusi baharu iaitu Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang sebelum ini ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan berkuat kuasa 1 Julai depan.

Wan Zulkiflee sebelum ini menyelesaikan kesukaran kedudukan kewangan satu anak syarikat Petronas yang berdepan penurunan harga komoditi yang bermula pada 2014.

Malaysia Airlines membatalkan penerbangan, menangguhkan perbelanjaan tidak kritikal dan mengurangkan kos sejak bermula krisis.