DUA anak syarikat pengeluar sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) kini berdepan larangan eksport produknya ke Amerika Syarikat (AS) kerana dikatakan menggunakan khidmat buruh paksa.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) dalam laman web rasminya meletakkan dua anak syarikat Top Glove iaitu Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd berada dalam senarai perintah penahanan berkenaan.

Bagaimanapun, laman web CBP hanya menyenaraikan Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd tanpa menjelaskan secara terperinci bentuk tindakan yang diambil.

Tindakan CBP itu dibuat ketika permintaan tinggi terhadap sarung tangan perubatan dan perlindungan peribadi susulan penularan Covid-19 di seluruh dunia termasuk AS.

Top Glove dalam satu kenyataan mengesahkan isu perintah penahanan terhadap produknya oleh CBP.

Syarikat itu berkata, pihaknya sudah menghubungi CBP menerusi pejabatnya di AS bagi memahami isu berkenaan dengan lebih baik dan berharap dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.