JAKEL, gedung tekstil terkenal di negara ini mencatatkan peningkatan jualan sehingga 80 peratus melalui platform atas taliannya sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Pemasaran Jakel, Azlan Abu Bakar berkata, peningkatan luar biasa itu mendorong Jakel untuk meneruskan jualan secara dalam talian dan memperkembang lagi segmen itu.

Katanya, sebelum ini Jakel menghentikan seketika jualan melalui platform berkenaan dan kembali menggunakannya ketika pelaksanaan PKP dan tidak menyangka jualan yang direkodkan memberangsangkan.

“Kami merancang untuk mengembangkan platform ini kerana mendapat sambutan pelanggan.

“Malah, pelanggan tidak perlu risau sekiranya barangan diterima tidak seperti yang ditempah dan boleh menukarnya semula di cawangan Jakel yang terdekat,” katanya pada sidang media sempena kempen Jakel Barulah Raya 2020 di sini, semalam.

Azlan berkata, Jakel turut memperkenalkan sistem ejen dropship yang setakat ini sudah mencecah 500 orang di seluruh negara.

Menurutnya, Jakel masih membuka pendaftaran untuk menjadi ejen dropship dan menawarkan harga lebih murah untuk yang berdaftar.

Beliau berkata, untuk 10 hari terakhir Ramadan ini juga, pelanggan yang hadir ke Jakel akan mendapat diskaun tambahan sehingga 15 peratus.

“Selain pembelian di cawangan Jakel, pelanggan boleh membuat pembelian melalui laman web di www.jakelstore.my atau melalui Instagram @jakelcatalogue dan pelanggan boleh membuat pembelian melalui Personal Shoppers di aplikasi WhatsApp dan penghantaran adalah melalui perkhidmatan penghantaran yang dijamin selamat sampai ke pintu rumah pelanggan,” katanya.

Azlan berkata, pelanggan yang ingin berkunjung ke cawangan Jakel juga tidak perlu risau kerana Jakel melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) antaranya pemeriksaan suhu badan, penggunaan pelitup muka, penjarakan sosial dan penggunaan cecair pembasmi kuman kepada pelanggan yang memasuki premis.

Sementara itu, Jakel menampilkan menampilkan pelawak dan pengacara, Shuk Sahar sebagai duta terbaharunya bagi koleksi ‘Plus Size’ bermula dari saiz XL sehingga 5XL.

“Kami juga menganjurkan peraduan Jakelkan Rayamu yang menawarkan hadiah sehingga RM20,000. Pelanggan hanya perlu memgikuti Instagram kami untuk menyertai peraduan ini,” katanya.