Kuala Lumpur: Sekurang-kurangnya 25 juta pekerjaan di peringkat global termasuk 11.2 juta di rantau Asia Pasifik berisiko hilang susulan kemerosotan permintaan mendadak bagi perjalanan udara akibat krisis penularan Covid-19.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata) berkata, syarikat penerbangan turut meminta kerajaan masing-masing menyalurkan bantuan kewangan segera untuk membolehkan perniagaan kekal bertahan dan mampu pulih selepas pandemik itu dapat dibendung.

Ketua Pengarah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Iata, Alexandre de Juniac berkata, Iata secara khususnya turut menggesa supaya bantuan dalam bentuk sokongan secara langsung disalurkan selain pinjaman, jaminan pembiayaan dan sokongan terhadap pasaran bon korporat serta pengecualian cukai.

“Tiada perkataan sesuai menggambarkan impak Covid-19 terhadap industri penerbangan. Malah, kesukaran ekonomi itu dikongsi 25 juta pekerja yang bergantung hidup dengan syarikat penerbangan.

“Ia sepatutnya menjadi perniagaan berdaya maju agar dapat kembali pulih selepas Covid-19 dapat dibendung. Bantuan terhadap syarikat penerbangan sesuatu yang kritikal pada masa ini,” katanya.

Menurutnya, selain bantuan kewangan utama, industri itu perlu melakukan perancangan dan penyelarasan secara terperinci bagi memastikan syarikat penerbangan bersedia untuk beroperasi apabila Covid-19 itu dapat dikekang.

“Kita tidak pernah menjangka industri ini mengalami impak sedemikian besar. Kita tiada pengalaman membantunya bangkit semula. Keadaan akan menjadi sukar. Dari segi praktikalnya, kita perlu pelan luar jangka untuk tujuan lesen dan pensijlan yang mungkintamat,” katanya.

Industri juga perlu melaksanakan operasi dan proses mengelak kemungkinan jangkitan semula virus itu menerusi kes diimport.

“Kita perlu mengenal pasti pendekatan berkesan untuk menguruskan sekatan perjalanan yang perlu ditarik balik sebelum dapat menyambung semula kerja. Ini adalah antara beberapa cabaran utama yang menanti kita. Bagi memastikan kejayaannya, pihak industri dan kerajaan perlukan pelarasan dan saling bekerjsama,” katanya.

Di peringkat global misalnya, kehidupan 65.5 juta orang bergantung dengan industri penerbangan, termasuk sektor seperti pengembaraan dan pelancongan dan daripada jumlah itu turut membabitkan 2.7 juta pekerjaan dalam syarikat penerbangan.

Dalam keadaan sekatan perjalanan serius selama tiga bulan, penyelidikan IATA menunjukkan bahawa kira-kira 25 juta pekerjaan bidang penerbangan dan sektor berkaitannya di seluruh dunia kini berisiko selain Asia Pasifik manakala, 5.6 juta pekerjaan di Eropah, Amerika Selatan (2.9 juta), masing-masing 2 juta di Amerika Utara dan Afrika serta 0.9 juta di Timur Tengah.