EKONOMI Malaysia dijangka berkembang secara beransur-ansur pada separuh kedua tahun ini, dipacu terutamanya oleh Kadar Dasar Semalaman (OPR) serta projek infrastruktur berskala besar yang dihidupkan semula.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata, berikutan penularan Covid-19, beberapa negara termasuk negara maju akan meneruskan langkah sekatan dan menangguhkan operasi yang sebaliknya terus menjejaskan permintaan luar terhadap eksport (Malaysia).

“Keadaan fiskal dan OPR akan menyumbang kepada pertumbuhan di Malaysia namun, ia berkemungkinan susut antara -2.0 peratus hingga 0.5 peratus pada tahun ini.

“BNM menjangkakan ekonomi akan meningkat semula pada tahun depan sejajar unjuran pemulihan di peringkat global. Terdapat ketidakpastian dalam unjuran itu berikutan keadaan semasa pandemik yang terus berlaku dan BNM akan terus memantau dan menilai perkembangan serta impaknya,” katanya pada sidang media maya pertama yang dikendalikan BNM, semalam.

Pada sesi taklimat Laporan Tahunan BNM 2019, Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2019 dan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2019 itu, Nor Shamsiah berkata, projek yang disambung semula seperti Transit Aliran Massa 2, Transit Aliran Ringan 2 dan Lebuhraya Pan Borneo mendorong peningkatan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini sebanyak satu mata peratusan.

“Walaupun keadaan ekonomi bagi separuh pertama tahun ini dijangka lemah namun BNM optimis berlakunya peningkatan pada separuh kedua tahun ini berikutan tindakan kerajaan mewujudkan pakej rangsangan ekonomi serta projek infrastruktur yang sedang dijalankan.

“Ia juga berkemungkinan menyaksikan pasaran tenaga kerja yang lemah dengan kadar pengangguran dijangkakan meningkat daripada 3.3 peratus pada tahun lalu.

“Bagaimanapun, pelaksanaan langkah rangsangan oleh kerajaan dapat menampan sebahagian daripada impak negatif virus itu dengan melindungi pekerjaan, mengurangkan kerugian pendapatan dan mempermudah aliran tunai perniagaan,” katanya.

Sementara itu, ketika berkongsi nada sama, Timbalan Gabenor BNM, Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, pasaran tenaga kerja dijangkakan lemah dan bank pusat itu mengunjurkan kadar pengangguran meningkat kepada 4.0 peratus.

“Sebagai perbandingan, ketika krisis kewangan dunia, kadar pengangguran kita pada 3.7 peratus manakala ketika krisis kewangan Asia pada 1998 ia 3.2 peratus. Oleh itu, pakej rangsangan ini bertujuan untuk membantu pekerja, isi rumah dan perniagaan untuk menempuh tempoh sukar ini,” katanya.