Kuala Lumpur: Gabungan pendigitalan dan teknologi kewangan (fintech) yang lebih tinggi akan membantu mengukuhkan daya tahan industri kewangan Islam serta membuka saluran pertumbuhan yang baharu, kata Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau berkata teknologi juga semakin digunakan ke arah meningkatkan celik kewangan, yang mempunyai hubungan yang positif dengan keterangkuman kewangan.

Peningkatan dalam kesedaran celik kewangan ini sudah tentu dapat menambah penyertaan dalam sistem kewangan Islam, produk termasuk perkhidmatan kewangan Islam, katanya.

“Walaupun menghadapi persekitaran mencabar yang telah menjejaskan pertumbuhan industri kewangan Islam pada 2020, Covid-19 juga menawarkan peluang dalam mempercepatkan dan membuka kunci potensi jangka panjangnya.

“Pandemik dan pelbagai langkah sekatan telah melonjakkan pertumbuhan dalam penyelesaian digital bagi menembusi khalayak yang lebih luas dan mewujudkan industri kewangan Islam yang lebih lincah,” katanya dalam satu ucapan khas pada Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-16 yang diadakan secara maya hari ini.

Banyak syarikat pemula niaga fintech Islam kini menawarkan platform gadai janji digital, pengurusan kekayaan dan aplikasi mudah alih seperti Wahed Invest, Qard Hassan, HelloGold serta BEST Invest.

Beliau berkata kewangan Islam bukan lagi domain eksklusif hanya kepada umat Islam, ia telah berkembang menjadi industri bernilai US$2 trilion dan terus menerima kepentingan yang kukuh sebagai saluran untuk pembiayaan serta meningkatkan pelaburan.

Di Malaysia, kewangan Islam mempunyai banyak tawaran memandangkan sistem kewangan yang berdaya tahan dan ekosistem berinovatif yang merangkumi Bursa Malaysia-i, yang menawarkan pelabur berasaskan kepercayaan cadangan serta platform yang unik bagi pelaburan patuh Syariah.

Sehingga Januari 2021, sejumlah 79 peratus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia adalah patuh Syariah, dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.2 trilion.

“Bagi menyokong peningkatan permintaan terhadap kemampanan, kami juga akan terus memperkukuh dan meluaskan penawaran patuh Syariah kami dengan tujuan untuk menambah penyertaan pelabur agar mereka mampu memenuhi tanggungjawab sosial bagi menyumbang kekayaan ke arah pertumbuhan ekonomi serta kebajikan masyarakat.

“Ini termasuk menggunakan instrumen pembiayaan sosial Islam seperti Qard Hassan, sukuk sosial, wakaf dan zakat sebagai cara yang mampan untuk pengagihan kekayaan yang saksama bagi membantu syarikat serta individu yang terjejas secara ekonomi akibat pandemik ini,” katanya.

Abdul Wahid berkata Bursa Malaysia telah berjanji untuk menyumbang satu peratus daripada keuntungan selepas cukainya atau RM3.8 juta ke arah projek komuniti yang akan secara positif mengubah dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Ini termasuk bayaran zakat sebanyak RM667,000, katanya lagi.