ORANG awam dan perniagaan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) diingatkan supaya berhati-hati dengan penipuan membabitkan pakej rangsangan ekonomi serta langkah bantuan yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) dan industri kewangan susulan pandemik Covid-19.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) serta Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM) dalam kenyataan bersama berkata, sindiket penipuan terbabit menggunakan taktik penipuan dengan niat untuk memperdaya mangsa yang tidak menaruh syak wasangka.

“Penipuan ini boleh mengakibatkan kerugian dalam bentuk wang dan berisiko menjejaskan butiran maklumat perbankan mereka yang sensitif dan sulit.

“Modus operandi terkini sindiket penipuan itu termasuk menyamar sebagai pegawai bank atau wakil bank yang berurusan dengan mangsa yang tidak menaruh syak wasangka melalui e-mel, panggilan telefon, perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) atau platform pesanan sosial seperti WhatsApp atau perkhidmatan pembawa mesej dalam talian yang lain,” katanya.

Menurutnya, penipu akan menggunakan helah ingin memudahkan bantuan kewangan atau membantu menyediakan permohonan pinjaman serta mendapatkan pembiayaan yang membabitkan pakej rangsangan dan langkah bantuan khas seperti Kemudahan Bantuan Khas (SRF) yang diumumkan BNM dan institusi kewangan.

“Kami ingin menegaskan bahawa institusi kewangan atau bank tidak melantik atau berurusan dengan pihak ketiga atau ejen untuk proses mendapatkan pinjaman.

“Oleh itu, individu dan ahli perniagaan dinasihati supaya tidak membuat permohonan pinjaman atau mendedahkan maklumat sensitif dan sulit kepada individu atau syarikat yang mengaku menjadi pihak ketiga yang dilantik atau ejen daripada industri kewangan,” katanya.

Orang ramai dan ahli perniagaan yang ingin mendapatkan pembiayaan juga dinasihati menghubungi secara langsung bank atau institusi kewangan untuk membuat permohonan pinjaman bagi mengelakkan daripada ditipu oleh sindiket yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai alternatif, katanya, PKS juga boleh mendapatkan pilihan pembiayaan yang sah melalui platform dalam talian melalui imSME.com.my, yang akan memadankan keperluan pembiayaan pemohon dengan institusi kewangan yang paling sesuai dengan keperluan masing-masing.

“Orang ramai juga dinasihati supaya berwaspada terhadap panggilan atau pesanan yang kononnya daripada pegawai bank, pihak polis, jabatan cukai pendapatan, mahkamah atau agensi kerajaan lain yang meminta maklumat perbankan peribadi anda.

“Bank atau institusi kewangan sama sekali tidak akan meminta maklumat perbankan peribadi seperti Kod Pengesahan Transaksi (TAC) atau Nombor Pengenalan Peribadi (PIN) atau nama pengguna daftar masuk dalam talian dan kata laluan,” katanya.

Ahli perniagaan dan orang ramai diingatkan supaya merujuk laman sesawang rasmi institusi kewangan dan/atau bank atau menghubungi perkhidmatan pelanggan mereka secara langsung untuk memperoleh maklumat, melakukan pengesahan dan mendapatkan penjelasan.