Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata demikian dalam sesi perkongsian Laporan Laksana Kedua Pencapaian (PRIHATIN) menerusi laman Facebook beliau pada Selasa. – Foto Facebook@tzafrulaziz

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempercepatkan penyediaan dokumentasi projek dan proses cabut undi dalam talian terutama bagi projek berskala kecil yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

Jelas Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ia bertujuan bagi memastikan kesinambungan aktiviti ekonomi terutama melibatkan kontraktor dapat diteruskan.

Kerajaan juga ujarnya, turut menurunkan punca kuasa kepada agensi pelaksana bagi mengeluarkan surat kebenaran beroperasi untuk projek kecil G1-G2.

“Adalah diharapkan selepas tamatnya PKP, syarikat-syarikat bersedia untuk melaksanakan projek berskala kecil ini dengan serta-merta demi manfaat rakyat,” ujar Tengku Zafrul dalam sesi perkongsian Laporan Laksana Kedua Pencapaian Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) menerusi laman Facebook beliau pada Selasa.

Kerajaan sebelum ini telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM4 bilion untuk menyokong perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Jelas Tengku Zafrul, enam daripada 10 langkah utama dalam Pakej Prihatin yang bernilai RM180 billion telah dimulakan antaranya moratorium institusi kewangan, i-Lestari, BHP dan subsidi upah.