Putrajaya: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyediakan pinjaman RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH 2.0) bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan dapat diberikan secara berterusan.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, PPLH 2.0 berbeza dengan program yang diadakan sebelum ini kerana kaedahnya berlandaskan kepada pembiayaan patuh syariah.

Katanya, ia memberi kelebihan apabila segala urusan dapat dilaksanakan secara telus dan pelanggan boleh melihat proses aliran kewangan mereka.

“Pelanggan juga dibekalkan maklumat dengan jelas jumlah keseluruhan pembiayaan tanpa sebarang caj tambahan dan tersembunyi serta dilindungi takaful.

“Lebih menarik lagi pembiayaan ini adalah satu-satunya pinjaman mudah bagi pembangunan ladang hutan yang ditawarkan di dalam negara ini.

“Selain itu, kadar dan tempoh keseluruhan pembiayaan serta tempoh penangguhan kelak memberikan keuntungan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Khairuddin berkata pihak kementerian bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Forest Plantation Development Sdn Bhd (FPDSB) sentiasa komited dalam menambah baik program itu dari masa ke semasa.

Katanya pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada industri perkayuan, justeru inisiatif dirangka kementerian dihrapkan dapat menyokong pertimbujam sektor komoditi di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).