KEMUDAHAN pembayaran tanpa tunai, e- dompet kini semakin berkembang pesat. Ditambah dengan pendemik Covid-19, e-dompet kini menjadi medium pembayaran popular dalam kalangan rakyat negara ini.

Antara e-dompet yang digunakan adalah KiplePay yang dilancarkan dua tahun lalu.

Aplikasi ini dibangunkan oleh KiplePay Sdn Bhd, anak syarikat Green Packet Berhad lebih fokus kepada penyediaan kemudahan cashless kepada institut pengajian tinggi awam (IPTA) iaitu Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi MARA kampus Shah Alam.

KiplePay kemudiannya mengembangkan lagi fungsinya dengan menyalurkan bantuan subsidi kepada golongan B40 dengan kerjasama tiga negeri iaitu Selangor, Kedah dan Perak menerusi pemberian inisiatif Kasih Ibu SmartSelangor, Kasih Ibu Darul Aman dan Perak Prihatin.

Terbaru, KiplePay dengan kerjasama Gabungan Persatuan Peniaga Kecil dan Penjaja Melayu Malaysia (GPPPKMM) memperkenalkan satu lagi perkhidmatannya iaitu warung digital Ramadan e-bazar.

Penerimaan menggalakkan dari masyarakat ditambah dengan Covid-19 ini, dari aplikasi asal, KiplePay kini mengorak langkah dengan menyediakan lebih banyak perkhidmatan.

KiplePay turut merancang meneroka tiga segmen utama bagi meningkatkan kembali potensi perniagaan dengan teknologi digital iaitu menyediakan perkhidmatan e-dompet, gerbang pembayaran dan menyediakan e-dompet label putih (white labelled services), sekali gus membolehkan syarikat berkenaan melancarkan e-dompetnya sendiri.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Kay Tan berkata, perkhidmatan e-dompet kini diperkembangkan dengan memberi kemudahan kepada peniaga kecil yang menjual dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Katanya, masyarakat kini lebih memilih membuat pembelian menerusi sosial media tetapi kebanyakan urusan jual beli dibuat secara manual.

“Apabila pembeli membuat pembayaran, mereka akan mengirimkan gambar bukti pembayaran kepada peniaga dan selepas itu barulah peniaga menguruskan penghantaran barang dibeli.

“Namun, jika peniaga itu menerima banyak transaksi pembayaran, pastinya ia menyukarkan penjual untuk menyemak transaksi yang dilakukan oleh pembeli selain menjadikan urusan itu tidak teratur dan bercelaru.

“Oleh itu, aplikasi ini dibangunkan khusus bagi membantu memudahkan peniaga dalam media sosial mengetahui lebih lanjut butiran pembayaran yang dibuat pembeli,” katanya.

Menurut Kay Tan, dengan sistem dikenali sebagai 1-click payment peniaga boleh mencipta sendiri pautan pembayaran kemudian dikongsikan kepada pembeli di WhatsApp.

“Dengan pautan itu, pembeli boleh membuat pembayaran dan peniaga akan terus menerima notifikasi pembayaran di portal web KipleBiz mereka.

“Peniaga juga boleh menyediakan barang pesanan untuk dihantar kepada pembeli. Risiko penipuan yang pastinya merugikan boleh dielakkan,” katanya.

Pihaknya juga bekerjasama dengan rangkaian syarikat penghantaran. Oleh itu, peniaga tidak perlu risau dengan penghantaran sebaliknya boleh lebih fokus kepada bagaimana untuk menjual barang serta melayan pertanyaan pelanggan.

Selepas hampir dua bulan tidak beroperasi, dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), restoran dan kedai makan sudah dibenarkan beroperasi semula tetapi dengan syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Justeru itu, bagi memudahkan peniaga mematuhi syarat dan SOP itu, KiplePay turut menawarkan penyelesaian khusus buat mereka.

“Bagi memenuhi SOP kerajaan, peniaga terpaksa memeriksa suhu badan pekerja dan pelanggan yang datang tetapi juga merekodkannya setiap hari.

“Bayangkan jika berlaku jangkitan dan majikan dikehendaki menghantar laporan seperti borang perakuan kesihatan, imbasan suhu badan pekerja dan kehadiran harian pekerja kepada Kementerian Kesihatan atau pihak berkuasa tempatan untuk mengesan kontak. Semua laporan pula dibuat secara manual menggunakan kertas, ia sememangnya cukup merumitkan.

“Oleh itu, dengan mendigitalkan semua laporan itu menerusi aplikasi dikhususkan untuk peniaga, mereka boleh mengakses semua maklumat pada bila-bila masa di mana juga,” katanya.

Aplikasi KiplePay yang dikhususkan untuk peniaga ini juga menyediakan kemudahan merekodkan kemasukan pelanggan secara automatik menerusi pesanan makanan yang dilakukan.

Menariknya, walaupun pelanggan memilih untuk makan di kedai, mereka boleh memesan makanan menerusi menu maya sekali gus mengurangkan sentuhan dengan pekerja.

Aplikasi ini juga menjadikan proses pembayaran lebih mudah. Ini kerana pelanggan tidak perlu pergi ke kaunter membuat pembayaran sebaliknya hanya dengan mengimbas kod QR disediakan.

Untuk maklumat lanjut, layari ready.greenpacket.com