Kuala Lumpur: Sebanyak RM55.67 juta peruntukkan untuk latihan sudah diluluskan menerusi inisiatif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) membabitkan seramai 22,581 pelatih, setakat 20 November lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Awang Hashim berkata, daripada jumlah itu seramai 4,065 pelatih sudah pun menamatkan latihan.

Mengulas lanjut, katanya, di bawah inisiatif itu juga sebanyak 35 pusat latihan diluluskan sebagai penyedia latihan.

“Kuala Lumpur mencatatkan jumlah penyedia latihan tertinggi iaitu 45.7 peratus, diikuti dengan Selangor iaitu 28.6 peratus dan Pulau Pinang iaitu 11.4 peratus.

“HRDF mempunyai lebih 4,000 penyedia latihan yang berdaftar dan daripada jumlah itu, seramai 1,200 penyedia latihan diluluskan bagi mengikuti program di bawah inisiatif PENJANA HRDF,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Awang menjawab soalan Ahli Parlimen Bebas Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berhubung Program Kursus Pembangunan Usahawan B40 yang dijalankan oleh HRDF.

Program Kursus Pembangunan Usahawan B40 pula, katanya, bagi melengkapkan golongan pekerja B40 dengan kemahiran dan pengetahuan khusus.

“Golongan ini dilengkapkan melalui latihan berkemahiran tinggi serta memperoleh kemahiran keusahawanan seterusnya meningkatkan pendapatan dalam pelbagai industri.

“Caj kursus ini boleh melebihi RM5,000, bergantung kepada tempoh masa kursus berkenaan dijalankan dan kit permulaan diberikan kepada pelatih.

“Secara purata, yuran kursus bagi seorang pelatih di bawah program ini adalah sebanyak RM5,000,” katanya.

Beliau berkata, dari segi caj kursus yang diluluskan oleh PSMB, ia terbahagi kepada dua elemen iaitu yuran kursus dan juga kit permulaan yang diberikan kepada pelatih selepas menamatkan latihan.