LADANG Solar Berskala Besar (LSS) pertama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sepang merekodkan lebihan jumlah tenaga maksimum yang diisytiharkan untuk dua tahun berturut-turut menerusi pengurusan loji secara pintar dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta teknologi analisis data.

Pada tahun pengoperasian pertama sepanjang 2019, ladang solar itu merekodkan lebihan tenaga yang diisytiharkan kepada penerima iaitu TNB sebanyak enam peratus atau lebih 110,000 megawatt jam (MWh).

Pengarah Urusan Tenaga Renewables Sdn Bhd (TRe), Mohd Yusrizal Mohd Yusof berkata, prestasi operasi yang baik ini turut diulangi pada tahun lalu dengan penjanaan tenaga berjumlah 108,900 MWh atau lima peratus lebih daripada yang diisytiharkan.

“Kami berjaya mengoptimumkan operasi ladang solar ini dengan menggunakan teknologi pemantauan dan analisis data. Ia antara lain membolehkan TNB untuk mengenal pasti waktu yang paling sesuai untuk membersihkan panel solar berdasarkan tahap penjanaan tenaga dan ramalan cuaca.

“Menerusi penggunaan teknologi analisis terkini (pengoptimuman pembersihan), kami dapat mencapai penjimatan kos operasi tahunan sehingga RM160,000,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, TRe komited menggunakan penyelesaian inovatif bagi membangunkan keupayaan TNB untuk menjadi pengurus serta pemaju aset RE terkemuka dalam Malaysia dan rantau ini.

Terletak di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat, Selangor, ladang solar berkapasiti 50 megawatt (MW) ini dilengkapi dengan 238,140 panel fotovaltaik.

Ladang solar yang diuruskan TRe itu memulakan operasi komersialnya pada November 2018.

Kecemerlangan TRe dalam pengurusan ladang solar itu meraih pengiktirafan daripada Frost & Sullivan dengan Anugerah Pemaju Tenaga Boleh Baharu Malaysia bagi tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk Ir Nawawi Ahmad berkata, ladang solar itu mencerminkan kekuatan TNB dalam membangunkan dan menguruskan projek ladang solar yang berjaya di Malaysia.

“Berbekalkan pengalaman yang kita peroleh setakat ini, saya harap TNB dapat terus memacu perkembangan RE di dalam negara menerusi lebih banyak pembangunan ladang solar,” katanya.

Selain LSS Sepang, TRe juga sudah membangunkan LSS Bukit Selambau di Sungai Petani, Kedah.

Ia memulakan operasi komersialnya pada 8 September tahun lalu, 114 hari lebih awal daripada yang dijadualkan. Ladang berkapasiti 30MW itu dilengkapi dengan 134,880 panel solar fotovoltaik.