TENAGA Nasional Bhd (TNB) akan terus melaksanakan pelan hala tuju strategik Reimagining TNB walaupun ada gangguan yang disebabkan oleh pandemik Covid-19.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelan hala tuju itu termasuk usaha mempelbagaikan sumber penjanaan TNB terutama tenaga boleh diperbaharui, melabur dalam grid nasional serta menumpukan kepada pelanggan dengan rangkaian produk dan perkhidmatan yang melangkaui penjualan elektrik.

“Bersama-sama Lembaga Pengarah kami, baru-baru ini kami sudah memperkukuh pelan hala tuju strategik 10 tahun kami.

“Kami berazam memacu agenda kelestarian yang lebih kukuh menerusi lebih banyak pelaburan dalam tenaga hijau dalam dan luar negara,” katanya dalam satu kenyataan.