MAYBANK menyasarkan 40,000 langganan kad kredit Maybank Shopee yang baru diperkenalkan dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulannya (perkhidmatan kewangan komuniti), Datuk John Chong berkata, kad kredit jenama bersama itu diperkenalkan dengan kerjasama Shopee dan Visa.

Beliau berkata, ia membolehkan bank itu memanfaatkan pertumbuhan perbelanjaan e-dagang rakyat Malaysia dan seterusnya memberikan kelebihan daya saing untuk mengukuhkan perniagaan kadnya.

“Dengan nilai unik Kad Kredit Maybank Shopee dan penggunaan e-dagang yang semakin meningkat, kami menjangka kad ini akan menjadi pilihan popular dalam kalangan pembeli Malaysia dan menjangkakan langganan yang tinggi,” katanya pada pelancaran kad itu secara maya, kelmarin.

Dalam satu kenyataan bersama, rakan kongsi itu berkata, pelancaran kad kredit jenama bersama itu dilancarkan ketika semakin ramai rakyat Malaysia beralih kepada e-dagang bagi keperluan mereka dengan pengguna menghabiskan purata 20 peratus lebih masa di Shopee dalam masa seminggu.

Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon berkata, segmen e-dagang tempatan berkembang lima kali lebih pantas daripada beli-belah secara bersemuka.

“Kami melihat satu daripada lapan pemegang kad aktif Visa yang tidak menggunakan e-dagang tahun lalu membuat pembelian pertama mereka menerusi dalam talian tahun ini,” katanya.

Warganegara Malaysia berusia 21 hingga 65 tahun, dengan pendapatan tahunan minimum RM36,000, boleh memohon kad itu mulai 1 Julai.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Kad Kredit Maybank Shopee, boleh layari https://shopee.com.my/m/maybank-shopee-credit-card.