PERUSAHAAN produk kecantikan milik penuh Bumiputera, Madamme Cosmetics menyasar membuka ibu pejabat fizikal yang akan turut bertindak sebagai bilik pameran di ibu negara sebelum akhir tahun depan.

Pengasasnya, Nur Atika Anisa Mohammad Ali berkata, ketika ini, pihaknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh jenama terutama produk terlaris iaitu face mist yang mula dipasarkan sejak tahun lalu.

“Ketika ini, kami masih beroperasi dari rumah dengan sebahagian besar perniagaan dilakukan secara dalam talian termasuk untuk penghantaran stok kepada kira-kira 20 ejen di seluruh negara.

“Kami melihat keperluan ibu pejabat dan bilik pameran untuk diwujudkan bagi memudahkan pengurusan selain menjadi pusat sehenti buat pelanggan dan ejen mendapatkan stok pada bila-bila masa,” katanya dalam satu temu bual khas bersama Harian Metro, di sini, baru-baru ini.

Katanya, perancangan itu turut disokong oleh jumlah jualan hampir 20,000 unit bagi face mist keluarannya dalam tempoh hanya setahun sejak diperkenalkan.

Malah, Madamme Cosmetics juga ke arah memperluas pasaran ke luar negara khususnya ke negara Timur Tengah tidak lama lagi.

“Selain face mist yang mendapat sambutan luar biasa, kami juga mempunyai beberapa lagi produk seperti masker dan sabun serta dalam kajian dan penyelidikan (R&D) untuk beberapa produk baru seperti shampu rambut.

“Dengan jumlah pengeluaran yang disasar semakin meningkat, kami memerlukan satu lokasi utama yang bukan saja akan bertindak sebagai pejabat pengurusan, tetapi juga untuk mengumpulkan stok sebelum diserahkan kepada ejen.

“Kami juga dalam proses mendapatkan pensijilan halal bagi produk Madamme Cosmetics sebelum dieksport ke luar negara seperti Dubai, Abu Dhabi dan Arab Saudi jika semuanya berjalan lancar,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, setakat ini Madamme Cosmetics tidak bercadang untuk memasuki pasaran runcit sebaliknya ingin memberi tumpuan kepada sistem ejen sebagai kaedah jualan.

Ini kerana katanya, kaedah itu dilihat lebih menjamin kelangsungan ejen selain membolehkan pihaknya mengawal harga jualan.

“Ejen Madamme Cosmetics kini berada di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak melalui jurumekap profesional di sana.

“Bagi menjaga eksklusiviti, kami akan mengehadkan jumlah ejen di seluruh negara namun usaha masih dipergiat bagi memastikan ejen yang dilantik benar-benar mampu menjadi barisan hadapan Madamme Cosmetics,” katanya.