KERAJAAN sudah mengagihkan sebanyak RM11.14 bilion Bantuan Prihatin Nasional (BPN) setakat 20 Julai 2020.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah itu meningkat daripada RM11.06 bilion minggu lalu, termasuk rayuan BPN membabitkan 10.416 juta penerima.

Tengku Zafrul berkata, bagi bayaran kepada kumpulan rayuan membabitkan 160,000 pemohon yang lulus dengan peruntukan RM139 juta, sebanyak RM125 juta atau 146,000 penerima telah berjaya dikreditkan.

“Selebihnya penerima yang gagal kredit dinasihatkan untuk ke Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk proses bayaran secara tunai,” katanya Dalam Laporan Laksana Ke-14, Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), hari ini.

Menurutnya, bagi Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020, pembayaran fasa ketiga akan dilaksanakan mulai 24 Julai 2020, membabitkan bayaran sebanyak RM3 bilion dan memanfaatkan hampir 4.28 juta penerima BSH, merangkumi 3.75 juta isi rumah dan 530,000 bujang, berumur antara 40 hingga 59 tahun.

“Kadar BSH yang akan diterima juga mengambil kira 3.8 juta anak penerima BSH berumur 18 tahun ke bawah,” katanya.

Katanya, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 7 Ogos 2020 hingga 6 September 2020, secara dalam talian di portal BSH https://bsh.hasil.gov.my.

Pemohon juga boleh hadir di mana-mana Cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM)/ Pusat Khidmat Hasil (PKH) dan Pusat Transformasi Bandar.