SEPANJANG pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membasmi penularan wabak Covid-19, operasi Malaysia Airlines  terjejas dan membatalkan 94 peratus atau lebih 14 ribu penerbangan secara keseluruhan.

Hal ini disebabkan kebanyakan negara di seluruh dunia juga melaksanakan PKP selain turut menutup sempadan negara masing-masing. Situasi itu memaksa Malaysia Airlines membatalkan penerbangan kerana kurang serta tiada permintaan.

Justeru, Ketua Pegawai Operasi Malaysia Airlines Ahmad Luqman Mohd Azmi berkata, sebagai syarikat penerbangan kebangsaan, Malaysia Airlines terus berkhidmat untuk negara dan rangkaiannya dengan mengekalkan hubungan domestik dan antarabangsa bagi memudahkan pergerakan penting.

“Bagi perkhidmatan domestik di Semenanjung Malaysia, ia disokong oleh Firefly manakala Malaysia Airlines juga terus melakukan penerbangan penyelamatan untuk membawa pulang rakyat Malaysia serta penghantaran pulang rakyat asing.

“Malaysia Airlines juga memastikan rantaian bekalan global dikekalkan dengan penghantaran melalui MABkargo sama ada di udara mahupun di darat.

“Manakala di Sabah dan Sarawak pula, MASwings meneruskan hubungan di dalam negeri serta Kawasan pedalaman demi masyarakat tempatan di sana,” katanya.

Sebagai syarikat global yang mempunyai operasi di pelbagai negara serata dunia, Malaysia Airlines sememangnya sudah bersedia dari segi komunikasi digital. 

Menurut Ahmad Luqman, mesyuarat atas talian atau persidangan video adalah perkara normal yang dipraktikkan mereka.

“Kita juga sudah lama mengamalkan ‘Flexi Work Location’ iaitu pada setiap hari Jumaat untuk operasi di Kuala Lumpur. 

“Justeru, seluruh tenaga kerja di Malaysia Airlines memang sentiasa ‘connected’ antara satu sama lain,” katanya.

Sejak penularan Covid-19 bermula, pusat hubungan pelanggan Malaysia Airlines dibanjiri dengan ratusan ribu panggilan kerana mereka sudah mula mahu menangguh atau membatalkan perjalanan. 

Oleh yang demikian, Malaysia Airlines menyediakan borang dalam talian supaya pelanggan tidak perlu membuat panggilan telefon sekali gus membantu dalam menurunkan jumlah panggilan dalam sehari.

Malaysia Airlines juga bekerjasama dengan pihak  berkuasa penerbangan dalam memanfaatkan teknologi digital bagi permohonan lesen juruterbang serta pengajian dalam talian.

Ahmad Luqman berkata, PKP ini nyata memberikan kesan kepada semua terutama pemilik perniagaan. Oleh itu, mereka boleh menukar kekangan yang dialami kepada peluang baharu untuk memastikan perniagaan bertahan.

“Adalah penting pemilik perniagaan memastikan syarikat sentiasa  berhubung secara digital dengan pelanggan dalam keadaan pergerakan terkawal ini.

“Jika perniagaan selama ini bergantung kepada kehadiran fizikal pelanggan, mereka perlu mempunyai ‘online presence’ serta khidmat penghantaran supaya perniagaan dapat diteruskan,” katanya.

Sepanjang PKP ini juga, sistem bekerja dari rumah menjadi inisiatif kebanyakan syarikat dan ia antara langkah yang dapat membantu perniagaan. 

Menurut Ahmad Luqman, sistem bekerja dari rumah boleh dilaksanakan namun pekerja mesti mengekalkan disiplin serta integriti dalam melakukan tugas. 

“Peranan ketua juga penting dalam memastikan sesuatu tugas dilengkapkan mengikut tempoh yang diberikan. 

“Kami sendiri nampak peningkatan produktiviti di kalangan pekerja Malaysia Airlines, kerana mereka lebih fokus dan mengutamakan output,” katanya.

Ahmad Luqman berkata, dalam apa juga situasi, peluang sentiasa ada untuk kita berubah dan memperbetulkan keadaan.

“Oleh itu, kita perlu bersedia untuk mencuba cara yang baru. Sentiasa inovatif serta positif dan jangan sesekali malas kerana pesaing lain sudah tentu akan memintas jika kita tidak berbuat apa-apa,” tambahnya.

#KitaSapotKita: Edisi Bisnes dibawakan khas oleh Maxis Business.

Duduk di rumah, Kekal Berhubung.

Layari www.business.maxis.com.my/kitasapotkita untuk lebih banyak lagi kisah dan panduan berniaga.

Image