TELEKOM Malaysia Berhad (TM) mengumumkan peletakan jawatan Pengarah Urusan (MD)/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO), Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkuat kuasa hari ini.

Sehubungan itu, TM turut mengumumkan pelantikan Imri Mokhtar sebagai MD/GCEO baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2020.

Pengerusi TM, Tan Sri Mohd Bakke Salleh menzahirkan penghargaan kepada Noor Kamarul atas sumbangannya kepada Kumpulan.

“Bagi pihak Lembaga Pengarah, barisan pengurusan serta warga

TM, kami mengucapkan selamat maju jaya buat Datuk Noor Kamarul dalam apa jua yang beliau ceburi selepas ini dan terima kasih atas segala sumbangan beliau yang sangat berharga kepada

TM sepanjang 13 bulan yang lalu.

“Beliau telah membina asas untuk masa hadapan yang kukuh dan menarik buat Kumpulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Kamarul meninggalkan TM dalam kedudukan yang kukuh biarpun munculnya cabaran masa kini ketika pandemik Covid-19.

Di bawah kepimpinan beliau, terutama dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), TM sebagai perkhidmatan penting terus membawakan kesinambungan penyelesaian sambungan dan digital buat rakyat Malaysia di seluruh negara; sambil memastikan keselamatan anggota TM di barisan hadapan dan prestasi kewangan

yang stabil.

Noor Kamarul menyertai TM sebagai MD/GCEO pada 13 Jun 2019.

Sementara itu, mengulas pelantikan Imri sebagai MD/GCEO TM yang baharu, Mohd Bakke berkata, Imri adalah bakat dalaman TM dengan latar belakang mantap dalam strategi dan operasi perniagaan.

“Jawatan terakhir beliau di TM adalah sebagai

Ketua Pegawai Operasi (COO) serta sebelum itu sebagai Pemangku GCEO, meletakkan beliau pada kedudukan terbaik untuk membawa TM maju ke hadapan dalam fasa pertumbuhan kami yang

seterusnya.

“Bersama-sama barisan kepimpinan sedia ada, Imri akan menerajui TM mendepani cabaran masa kini dan meletakkan kami pada kedudukan lebih berdaya tahan, kompetitif dan lestari.

“TM bersedia untuk menerajui Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0); sebagai Penyedia Infrastruktur Sambungan dan Digital Negara dan dalam memenuhi aspirasi ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Imri, 47, membawa bersama beliau pengalaman dalam bidang telekomunikasi dan strategi selama lebih 24 tahun.

Jawatan terakhir beliau adalah Ketua Pegawai Operasi (COO) di Celcom Axiata Berhad sejak 1 Mei 2020, di mana beliau bertanggungjawab memacu kecemerlangan operasi merentas organisasi dan memimpin fungsi teknologi serta fungsi-fungsi lain yang telah dikenalpasti.

Jawatan Imri terakhir di TM juga adalah COO di mana beliau bertanggungjawab terhadap operasi perniagaan unifi, TM ONE dan TM Global.

Imri adalah Pemangku GCEO dari November 2018 sehingga Jun 2019.

Sebelum pelantikan Imri sebagai COO, beliau adalah Naib

Presiden Eksekutif (EVP) unifi.

Beliau memulakan kerjaya di TM pada 1996 dan menyertai semula TM pada 2005 serta memegang pelbagai jawatan di TM termasuklah Naib Presiden, Pejabat Pengurusan Program dan Prestasi serta EVP, Konsumer.

Sebelum menyertai semula TM pada 2005, Imri berkhidmat di pengendali TV berbayar di Malaysia dan sebelum itu, beliau adalah perundingcara dengan firma perundingan global.

Imri menamatkan pengajian dari University College London dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kepujian Kelas Pertama) serta melengkapkan program-program perniagaan dan

kepimpinan oleh Cambridge Judge Business School dan Harvard Business School.