SYARIKAT pemaju hartanah, UDA Holdings Berhad (UDA), dipelawa untuk turut serta dalam pembangunan hab petrokimia yang dibangunkan kerajaan Sarawak di Tanjung Kidurong, Bintulu.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, sebagai syarikat pemaju hartanah yang mampan dan berdaya saing di Malaysia, beliau yakin UDA mampu untuk turut serta membangunkan kawasan seluas 400 hektar itu untuk menampung keperluan perumahan di hab petrokimia terbabit.

Justeru katanya, UDA boleh berbincang dengan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) berhubung tawaran itu dan melihat kesesuaian projek yang boleh dilaksanakan di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak sedang membangunkan hab petrokimia di Bintulu dan kita memerlukan pelaburan asing untuk merancakkan lagi industri hiliran minyak dan gas di kawasan itu.

“Pelabur asing tentu mahukan kediaman yang baik di hab petrokimia itu dan itulah sebabnya kita mempelawa UDA untuk turut serta dan jika berminat, bolehlah berbincang dengan Tan Sri Aziz (Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Pembangunan Usaha Sama antara UDA dengan SEDC di Kuching, hari ini.

Perjanjian itu adalah bagi usaha sama pelaksanaan projek sulung UDA di Sarawak untuk membangunkan perumahan, premis perniagaan dan hotel di kawasan seluas 5.09 hektar di kawasan perindustrian Pending, Kuching.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Mohammad Mentek dan Pengerusi UDA, Datuk Jalaluddin Alias.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, selain menyediakan kediaman yang baik untuk pelabur asing di hab petrokimia Tanjung Kidurong, kemudahan perumahan juga perlu dibina untuk keperluan pekerja termasuk tenaga pakar yang dijangka mencecah 74,000 orang dalam tempoh tujuh hingga 10 tahun akan datang.

Sementara itu, Wan Junaidi berkata, sebagai agensi di bawah Medac, UDA bersedia menerima tawaran Abang Johari untuk membangunkan kawasan perumahan bagi keperluan di kawasan hab petrokimia itu.

“UDA mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk membangunkan kawasan terbabit seperti yang dikehendaki oleh kerajaan negeri,” katanya.

Mengenai usaha sama antara UDA dan SEDC untuk membangunkan kawasan perumahan dan hotel di Kuching, Wan Junaidi berkata, ia dapat menyumbang kepada pembangunan usahawan dan industri di Sarawak dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM480 juta.

“Pembangunan bercampur ini dijangka mampu merancakkan lagi ekonomi di Sarawak seiring dengan usaha mempercepatkan pertumbuhan negeri Sarawak dan seterusnya mengorak langkah ke arah pembangunan yang lebih hebat sehingga mampu menjadi negeri maju menjelang 2030.

“Inisiatif ini juga menyokong agenda UDA bagi pemilikan hartanah di kalangan Bumiputera tambahan pula, harga yang ditawarkan adalah mampu milik dengan lokasi yang strategik,” katanya.

Sementara, Jalaluddin berkata, usaha sama itu satu contoh yang baik bagi agensi kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bagi merealisasikan objektif yang bakal memberi manfaat kepada negeri ini.

“Usaha sama ini secara tidak langsung menyokong aspirasi Medac dalam merancakkan aktiviti keusahawanan dan meningkatkan ekonomi dan langkah ini juga bertepatan dengan komitmen UDA iaitu kemampuan dan kemampanan dengan menawarkan ruang kedai pejabat berpatutan kepada usahawan,” katanya.