SYARIKAT telekomunikasi U Mobile menjalinkan kerjasama dengan Waze dan Terowong SMART dalam menyediakan ketersambungan GPS buat pemandu yang melalui terowong itu.

Ketua Pegawai Pemasaran U Mobile, Jasmine Lee berkata, pengguna yang melalui terowong dwifungsi terpanjang di dunia itu kini dilengkapi peranti mudah alih Waze Beacons melalui Bluetooth bagi penyebaran isyarat tanpa wayar lebih baik.

“Pemandu tidak perlu bimbang jika tersesat atau tersilap susur keluar kerana penerimaan isyarat GPS kini ditambah baik untuk navigasi yang berterusan.

“Kami berpegang teguh kepada pendirian dalam menyerlahkan potensi teknologi tanpa had untuk penggunaan 5G serta meluaskan rangkaian 4G di negara ini.

“U Mobile adalah syarikat telekomunikasi pertama di dunia yang menyokong navigasi GPS di dalam terowong,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, lebih 30,000 pengguna menggunakan Terowong SMART setiap hari dan melalui pemasangan Waze Beacons ini, ia memberi manfaat kepada semua tanpa mengira penyedia perkhidmatan yang digunakan.

Kemudahan ini juga membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan kekeliruan yang diakibatkan kehilangan isyarat GPS.

Setakat ini hampir 240 Waze Beacons berjaya dipasang di terowong sepanjang 5.2 kilometer (km) itu dan pengguna perlu mengaktifkan fungsi Bluetooth untuk kekalkan sambungan navigasi GPS.