EDUCITY Iskandar Malaysia Sdn Bhd (EduCity Iskandar), optimis untuk menjadi hab pendidikan unggul di rantau Asia menerusi pelan utama pembangunan EduCity 2.0.

Pengarah Urusannya, Wan Ahmad Saiffuddin Wan Ahmad Radzi berkata, pembangunan EduCity 2.0 akan bermula pada 2021 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2024.

Katanya, strategi baharu EduCity 2.0 ini bakal menyaksikan identiti baharunya sebagai bandar pendidikan yang dilengkapi pelbagai kemudahan ditambah baik dan penambahan rakan kongsi institusi pendidikan lain.

“Setakat ini, kami mempunyai sembilan institusi pendidikan di EduCity Iskandar dan kami mempelawa institusi pengajian lain bersama memperkukuh ekosistem pendidikan di kawasan ini.

“Kami turut menyasarkan peningkatan 15,000 pelajar yang akan menimba ilmu di EduCity 2.0 dalam tempoh lima tahun lagi berbanding 4,000 pelajar ketika ini.

“Lokasi strategik EduCity Iskandar ini dijangka menyokong lagi pelan perkembangan EduCity 2.0 dan menjadi pintu gerbang untuk pelajar di Asia kerana ia saling berhubung dengan bandar utama seperti Kuala Lumpur, Singapura dan Jakarta,” katanya pada sidang media di pelancaran EduCity 2.0 di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama, Pengerusi EduCity Iskandar, Datuk Khairil Anwar Ahmad.

EduCity 1.0 dilancarkan pada 2009 dan dikenali sebagai Entry Project Point (EPP) yang menempatkan sembilan institusi pendidikan terbaik antaranya Newcastle University Medicine Malaysia, Netherlands Maritime Institute of Technology, University of Southampton Malaysia, Universiti Multimedia, University of Reading Malaysia, Kolej MDIS Malaysia, Universiti Raffles, Marlborough College Malaysia dan Raffles American School.

Hab EduCity ini juga menawarkan EduCity Village yang menyediakan 210 bilik asrama dan 66 apartmen dengan 640 bilik dan Kompleks Sukan EduCity.

Ditanya mengenai jumlah pelaburan yang diperuntukkan bagi pembangunan EduCity 2.0, Wan Ahmad berkata, buat masa ini pihaknya belum boleh mendedahkan nilai itu kerana projek di peringkat perancangan dan perlu mendapatkan kelulusan daripada lembaga pengarah.