AIRASIA komited memastikan semua pesawatnya mematuhi semua aspek standard keselamatan, meskipun ketika fasa penggantungan penerbangan.

Ketua Penguatkuasaan Keselamatannya, Kapten Ling Liong Tien berkata, AirAsia sentiasa berusaha meningkatkan standard keselamatannya.

“Semua syarikat penerbangan dalam Kumpulan AirAsia mempunyai sistem pengurusan keselamatan yang ketat dan yang paling penting disahkan oleh Audit Keselamatan Operasi atau IOSA (kecuali AirAsia Jepun, kini dalam proses).

“Kami berbangga kerana AirAsia terbabit dalam beberapa penerbangan membawa pulang warganegara dan misi kemanusiaan, sejak dua bulan lalu dari China, India, Iran, Itali, Filipina, Turki, Kemboja dan banyak lagi.

“Semua penerbangan itu adalah kerjasama antara pihak berkuasa dan agensi kerajaan, sementara AirAsia dilantik untuk melaksanakan misi penerbangan terbabit.

“Sebelum berlepas, banyak aspek yang harus dititikberatkan kerana mungkin ada senario di mana tetamu yang dipindahkan dari zon tertentu mungkin tidak akan dibenarkan masuk ke negara ketiga.

“Oleh itu, usaha merancang penerbangan adalah satu langkah penting,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, semua pesawat AirAsia melalui prosedur disinfeksi yang kerap untuk meminimumkan risiko penyebaran penyakit dan usaha ini dipertingkat terutama dalam keadaan sekarang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19