Kuala Lumpur: Syarikat permulaan teknologi kewangan (fintech) tempatan, Global Sadaqah merekodkan kutipan dana RM450,000 yang diraih melalui penerbitan sahamnya di bawah platform pembiayaan dana awam berekuiti dan patuh syariah baharu yang dikawal selia  Ethis Malaysia.

 Dibuka 72 jam, kempen pembiayaan dana awam kilat itu melangkaui sasaran minimum RM200,000 dengan pantas, malah turut menarik pelabur dari lebih 10 negara termasuk pelabur strategik.

 Pengurus Global Sadaqah di Malaysia, Ifran Tarmizi berkata, dana pelaburan diterima itu digunakan untuk mengembangkan perkhidmatan ditawarkannya di Malaysia dan meningkatkan pengaruh syarikat di pasaran utama selain mengadaptasi teknologi baharu.

 Katanya, menjadi fokus pihaknya ketika ini untuk bekerjasama dengan lebih banyak badan korporat dan yayasan yang menyediakan dana untuk program lestari serta berimpak, misalnya program Qard Hassan yang baharu dilancarkan untuk perusahaan mikro di Malaysia.

 “Pada waktu ini, adalah penting untuk pengagihan dan impak berkesan dipertingkatkan terutama bagi memastikan kelestarian zakat dan derma daripada penderma besar serta badan korporat.

 “Kami terus berusaha menyediakan pusat perkhidmatan setempat buat syarikat dan perniagaan milikan umat Islam untuk mengagihkan dana sosial mereka dengan mudah.

 “Pada masa sama, Global Sadaqah juga mengembangkan kerjasama SocioBiz kami bersama Alliance Islamic Bank,” katanya.

 Menurutnya, meskipun tumpuan khusus diberikan kepada pelanggan korporat, platform pembiayaan dana awam Global Sadaqah masih dibuka kepada umum dan berkembang dua kali ganda saban tahun dengan Malaysia dan Singapura kini menjadi negara penderma tertinggi.

“Platform ini memudahkan derma sumbangan dengan memberi akses kepada 11 saluran berbeza, termasuk penyedia dompet maya di Malaysia, Bitcoin dan emas digital. Ia menampilkan pelbagai kempen anjuran rakan amal yang sudah disaring dan disahkan.

 “Kempen semasa yang terbuka termasuk bantuan segera untuk bencana alam di Malaysia dan Indonesia serta usaha bantuan berkaitan Covid-19,” katanya.

 Antara pelabur angel yang menyumbang termasuk Azmi Muslimin dari Singapura, Khaled Fuad yang berpangkalan di Gulf Cooperation Council (GCC) dan Awaiz Patni, antara individu bekerjaya yang mempunyai pengaruh dalam pengurusan syarikat pelaburan.