Kuala Lumpur: Gojo Malaysia mengurangkan komisennya kepada sifar peratus untuk semua pemandu penghantarannya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 14 Januari lalu.

  Ketua Pegawai Operasi Gojo, Pradeep Kumar berkata, inisiatif itu sebagai langkah dalam membantu rakan pemandu Gojo yang semakin kurang menerima tempahan susulan pelaksanaan PKP 2.0.

  Katanya, inisiatif sifar peratus komisen ketika PKP sejajar objektif  dan hala tuju syarikat.

“Gojo adalah visi bersama yang dibangunkan secara kolektif untuk penduduk tempatan dan  rakyat Malaysia.

 “Oleh itu, pada masa getir dan mencabar ini, kami melakukan apa sahaja yang  termampu untuk menyokong komuniti setempat, walaupun dengan menggunakan perbelanjaan kami sendiri,” katanya. Dilancarkan pada  Ogos tahun lalu, Gojo pengendali e-hailing tempatan yang menyediakan perkhidmatan untuk lebih 117,000 pelanggan aktif dalam perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran atas permintaan di sekitar Lembah Klang.

  Pradeep berkata, pihaknya menyasarkan 300,000 pelanggan aktif menjelang akhir tahun ini terutama disokong menerusi pelancaran pelbagai program kerjasama dengan rakan e-dompet seperti Touch’n Go dan Boost untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai ketika menempah perkhidmatan Gojo.

  Beliau berkata, dalam usaha menyokong usaha kerajaan melandaikan Covid-19, pihaknya  melaksanakan Teknologi Pengenalan Topeng Muka pada aplikasi Pemandu Gojo.

 “Dengan aplikasi ini pemandu dikehendaki memberi pengesahan mereka memakai topeng muka sebelum menerima sebarang tempahan.

  “Teknologi ini sebahagian daripada langkah keselamatan dan kesihatan yang dilaksanakan secara ketat oleh Gojo untuk memastikan perlindungan maksimum bagi pelanggan dan pemandu di jalan raya,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19