Kuala Lumpur: Keputusan untuk melanjutkan jajaran asal Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) daripada 640 kilometer (km) ke 665km adalah langkah penting kerana ia akan dihubungkan ke Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Barat, kata seorang pakar.

Penyelidik pengangkutan awam, SM Sabri SM Ismail berkata, tanpa melanjutkan jajaran itu ke pelabuhan, ECRL tidak mempunyai sambungan langsung ke pelabuhan, oleh itu, semua kargo harus berhenti di Jalan Kastam kemudian dibawa dengan trak ke pelabuhan atau diangkut dengan kereta api KTM.

“Ada keperluan untuk projek tambahan untuk melanjutkan jajaran ECRL itu dari Jalan Kastam ke pelabuhan,” katanya kepada Bernama.

Selasa lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan jajaran tambahan akan merangkumi 30km, iaitu 24km dari Jalan Kastam (Pelabuhan Klang) ke Pelabuhan Barat dan enam km dari Jalan Kastam ke Pelabuhan Utara.

Wee berkata, ini adalah adalah sebab yang memerlukan kerajaan harus membina sebuah jambatan darat dan mengoptimumkan penggunaan kereta api kerana tujuan utama pembinaan ECRL adalah sebagai laluan kargo membabitkan 70 peratus kargo dan 30 peratus penumpang.

“Jadi kerajaan perlu memastikan ada pulangan keuntungan,” katanya.

Wee berkata, kejayaan ECRL bukan hanya mengenai kembali kepada jajaran asalnya, tetapi dengan penambahbaikan dengan melalui Serendah dan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan Pelabuhan Barat dan Utara.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam maklum balas kepada pertanyaan dari Bernama berkata, kembali kepada jajaran asal akan membolehkan pembinaan laluan pintas tolok meter dari Serendah ke Pelabuhan Klang untuk Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dimasukkan ke dalam penjajaran ECRL yang baharu.

“Laluan pintas itu akan menjadikan perkhidmatan kereta api KTMB lebih efisien kerana berfungsi sebagai saluran bantuan pengangkutan yang signifikan kepada KTMB yang ketika ini menghadapi kesukaran ketika melalui pusat perniagaan Kuala Lumpur (CBD).

“Isu kesesakan pengangkutan barangan juga menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan orang ramai kerana kargo KTMB yang mengandungi bahan berbahaya perlu melalui stesen KL Sentral dan Bank Negara,” kata pemaju projek ECRL itu.

MRL berkata, hab kargo itu akan dapat memudahkan perhubungan kereta api yang lancar dari Serendah ke koridor ekonomi dan pelabuhan di Semenanjung Malaysia.

“Kesimpulannya, penjajaran baharu itu akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kargo ECRL,” katanya.