Kuala Lumpur: Moratorium dan bantuan bank bersasar dijangka memberi kesan negatif ke atas prestasi kewangan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) pada separuh kedua ini.

Namun, ia dijangka tidak akan memberi impak yang besar seperti yang direkodkan enam bulan pertama 2020.

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Muazzam Mohamed berkata, berdasarkan keadaan ekonomi semasa, separuh kedua 2020 ini masih memberikan cabaran kepada prestasi kewangan Bank Islam.

Namun katanya, ia tidak akan seteruk seperti yang dialami pada separuh pertama tahun ini yang kebanyakannya disebabkan oleh pengurangan pendapatan disebabkan pelaksanaan moratorium.

“Kalau separuh pertama, impak disebabkan moratorium, tetapi pada enam bulan terakhir ini, impak itu tetap ada tapi kurang dan boleh diatasi.

“Ini kerana moratorium bersasar tidak diberikan kepada semua segmen peminjam, hanya yang perlu. Jumlah kehilangan juga tidak akan besar berbanding Januari hingga Jun lalu.

“Bank Islam juga berada di kedudukan yang baik apabila nisbah modal kami masih antara yang tertinggi selain nisbah kecairan yang mencukupi.

“Kualiti kredit Bank Islam juga antara yang terbaik di pasaran bank tempatan dan banyak membantu kami. Nisbah impak Bank Islam juga pada 0.7 peratus.

“Separuh kedua mungkin akan bergerak sikit, tetapi masih baik berbanding purata industri perbankan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman dengan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Mengulas lanjut, Mohd Muazzam berkata, bagi memastikan operasi Bank Islam kekal stabil, pihaknya aktif menjalin hubungan dengan pelanggan dan peminjamnya bagi memastikan langkah awal dapat dilaksanakan.

Katanya, langkah awal ini dapat membantu kewangan pelanggan dan peminjamnya selain memberikan pihaknya turut tidak menerima kesan negatif.

“Kami bantu awal kepada mereka yang terkesan. Seperti juga dengan moratorium bersasar ini, kami sentiasa menghubungi peminjam dan memberikan bantuan awal.

“Dalam seminggu dua ini, jumlah permohonan moratorium bersasar semakin meningkat dan Bank Islam ingin menggalakkan peminjam supaya segera berhubung dengan bank.

“Malah, Bank Islam juga memberikan pembiayaan kewangan kepada syarikat terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang memerlukan dana tambahan untuk perbelanjaan modal.

“Ini kerana ada usahawan yang mempunyai perniagaan tetapi terkesan daripada aliran tunai disebabkan kelembapan bayaran,” katanya.