PENGGUNAAN Internet melalui sambungan ke Wifi dalam kalangan pengguna telefon pintar di negara ini menyaksikan peningkatan ketara sehingga 30.5 peratus sepanjang minggu ketiga bulan lalu.

Melalui kaji selidik peneraju analisis mudah alih Opensignal sejak Januari lalu, kenaikan mendadak itu berlaku serentak permulaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Penganalisis Kanan Opensignal, Sam Fenwick mendedahkan, angka itu lebih tinggi jika dibandingkan dengan peningkatan 27.8 peratus pada minggu sebelumnya.

“Peningkatan ini juga cukup ketara jika dibandingkan dengan hanya 9.7 peratus kenaikan dari minggu ke minggu sejak wabak pandemik Covid-19 melanda dunia, tiga bulan lalu.

“Beberapa negara lain turut merekodkan peningkatan penggunaan Internet melalui sambungan ke Wifi sama seperti Malaysia antaranya Australia dan kebanyakan negara di Eropah dan Amerika,” katanya.

Menurut Sam, sepanjang minggu ketiga Mac lalu Filipina mencatatkan peningkatan 13.4 peratus bagi penggunaan Internet menerusi sambungan ke Wifi, malah Thailand turut menunjukkan peratusan kenaikan.

Jelasnya, dua lagi negara yang turut merekodkan peningkatan mingguan tertinggi adalah Peru dan Sepanyol dengan masing-masing 20.4 dan 16.8 peratus.

“Bagaimanapun, berbanding Malaysia dan negara dinyatakan, Opensignal tidak mengesanpeningkatan drastik dalam kalangan pengguna telefon pintar di Singapura antara minggu kedua Januari sehingga minggu ketiga bulan lalu.

“Begitu juga di Korea Selatan yang bukan saja tidak meningkat dari segi peratusan penggunaan Internet menerusi sambungan ke Wifi, malah dilihat menurun,” katanya.

Menurut Sam, Opensignal cuba mengkaji perubahan tingkah laku dan pengalaman jaringan dalam kalangan pengguna telefon pintar sepanjang krisis Covid-19.

“Data dan hasil kaji selidik kami mungkin boleh membantu operator mudah alih, pihak berkuasa telekomunikasi dan kerajaan untuk melakukan persediaan bersesuaian dalam menghadapi cabaran situasi ini.

“Petunjuk awal kepada perubahan ini adalah purata peratusan masa sambungan ke Wifi oleh pengguna telefon pintar dan peratusan ini tentunya meningkat memandangkan orang ramai kini banyak meluangkan masa di rumah.

“Sedangkan kebiasaannya, orang ramai menggunakan Internet menerusi sambungan ke Wifi pada hujung minggu dan hari cuti umum,” katanya.