TEMPOH hibernasi yang dilalui sebelum ini membolehkan Kumpulan AirAsia melaksanakan prosedur penyelenggaraan ketat kepada hampir semua 282 pesawat di lapangan terbang di sekitar Asia sejak akhir Mac lalu.

Ini bagi memastikan semua pesawat terus dalam keadaan baik dan layak diterbangkan apabila dibenarkan kembali beroperasi.

Ketua Bahagian Kejuruteraan Kumpulan AirAsia, Banyat Hansakul berkata, AirAsia melaksanakan Prosedur Parkir Jangka Panjang, sebahagian daripada Manual Penyelenggaraan Pesawat Udara (AMM) yang ditetapkan pengeluar pesawat Airbus.

Katanya, manual yang digariskan dengan prosedur dan tindakan penyelenggaraan berkala yang ketat itu bertujuan menjaga keselamatan dan kelayakan terbang pesawat dalam jangka masa parkir yang berpanjangan.

“Pesawat kumpulan kami mungkin dalam hibernasi, tetapi masih banyak yang perlu dilakukan bagi menyelenggara mesin berteknologi tinggi itu.

“Justeru, jurutera kami harus memastikan semua pesawat disimpan dalam keadaan baik apabila kami bersiap sedia untuk terbang nanti,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Hansakul berkata, bukan tugas mudah untuk mengawasi penyenggaraan pesawat untuk kumpulan itu dalam waktu yang sukar ini.

“Setelah pertimbangan dibuat, kami memutuskan untuk memindahkan beberapa pesawat ke hab berhampiran seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket dan Lapangan Terbang Antarabangsa Utapao Rayong-Pattaya,” katanya.

Katanya, AirAsia juga harus mengenal pasti jangka masa parkir untuk setiap pesawat kerana tindakan penyenggaraan berbeza untuk pesawat yang diparkir selama kurang daripada sebulan, antara satu hingga enam bulan, atau antara enam bulan hingga setahun.

“Sebilangan besar pesawat termasuk dalam kategori pertama dan kedua, justeru kami perlu memastikan beberapa pesawat tetap aktif di setiap hab bagi tujuan misi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) atau operasi kargo dan sewaan,” kata Hansakul.

Katanya, pemeriksaan harian amat penting kerana cabaran yang dibawa oleh alam semula jadi selain perubahan cuaca tidak dapat dijangka.