ALLIANZ Malaysia Berhad menjangkakan lebih banyak syarikat insurans dapat meningkatkan penjualan polisi penjagaan kesihatan berikutan penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zakri Khir berkata, kesan penularan pandemik itu menjadikan orang ramai lebih prihatin terhadap kesihatan masing-masing serta membuka peluang kepada syarikat insurans.

Bagaimanapun katanya, kesan kepada industri insurans akan selari kesan ekonomi dan sukar untuk bersikap optimis atau membuat jangkaan yang tepat buat masa ini.

“Untuk perniagaan insurans hayat, ejen kami akan menghadapi kesukaran untuk berjumpa pelanggan kerana kekangan untuk bergerak dan penjarakan sosial.

“Tetapi, kami memanfaatkan sebaiknya saluran digital dan ia diharapkan dapat meningkatkan jumlah penembusan insurans kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, melihat situasi ekonomi global, ia akan menjadi tempoh sukar bagi syarikat insurans am dan nyawa di Malaysia dalam beberapa bulan akan datang.

“Hakikatnya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak hanya menjejaskan operasi kami, malah banyak syarikat lain yang juga perlu menyesuaikan diri dengan normal baharu seperti yang disebut oleh orang ramai pada masa ini.

“Bagi industri insurans am, impaknya dapat dirasa, terutama dalam polisi pelancongan kerana orang ramai enggan membuat perancangan untuk melancong. Ia kerana sekatan yang dikenakan untuk melawat luar negara ataupun luar negeri.

“Kami turut menjangkakan peningkatan dalam tuntutan yang kebanyakannya berkaitan dengan insuran pelancongan dan perubatan,” katanya.