CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) selaku rakan strategik Lembaga Tabung Haji (TH) meluaskan perkhidmatan TH yang kini merangkumi perbankan dalam talian menerusi CIMB Clicks.

Sebelum ini, kolaborasi antara TH dan CIMB Islamic sejak 2019 memberi akses kepada perkhidmatan TH di lebih 2,900 rangkaian terminal layan diri CIMB seluruh negara.

Pengenalan akses terbaharu melalui CIMB Clicks ini memberi kemudahan kepada hampir sembilan juta pendeposit TH melaksanakan transaksi.

Antaranya, pindahan wang dari akaun TH ke akaun CIMB dan sebaliknya pindahan wang ke akaun pihak ketiga TH, pertanyaan baki simpanan serta pendaftaran dan pembatalan, pautan akaun TH kepada akaun CIMB.

Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, dengan adanya kemudahan perbankan dalam talian CIMB Clicks, pelanggan CIMB, tidak kira sama ada mereka mempunyai akaun CIMB Bank atau CIMB Islamic boleh mengakses perkhidmatan TH sekali gus melakukan transaksi di mana-mana dan pada bila-bila masa.

“Kemudahan dan akses dalam talian ini akan ditambah nilai dari semasa ke semasa, selaras dengan iltizam kami untuk membangun CIMB sebagai bank digital untuk masa hadapan.

“Saya merasakan perkembangan terkini ini adalah tepat pada masanya dalam kita berusaha untuk menyesuaikan diri dengan normal baharu.

“Dengan kemudahan ini, kami dengan sukacitanya menyarankan kepada lebih empat juta pelanggan Bumiputera CIMB untuk menghubungkan akaun CIMB mereka kepada akaun TH sedia ada bagi menikmati pelbagai kemudahan perbankan antara kedua akaun ini.

“Saya berharap kerjasama strategik ini akan berterusan dan memberi nilai tambah kepada pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata, kerjasama strategik ini akan meningkatkan akses perkhidmatan TH dari lebih 10,000 rangkaian perkhidmatan kepada satu jumlah yang lebih tinggi kerana potensi perkhidmatan perbankan dalam talian adalah besar.

“Ini membolehkan pendeposit untuk melakukan urusan tanpa perlu pergi ke pejabat TH,” katanya.