TELEKOM Malaysia (TM) terus komited menjadi penyedia infrastruktur sambungan dan digital negara menerusi penyelesaian inovatif Fast Internet for Rural Area (FIRA).

FIRA dibangunkan oleh Telekom Research and Development Sdn Bhd (TM R&D), cabang inovasi TM dengan kerjasama Webe Digital Sdn Bhd, cabang mudah alih TM.

Ketua Pegawai Eksekutif TM, Imri Mokhtar berkata, FIRA membolehkan sambungan berganda ke rangkaian 4G secara serentak melalui peranti luaran dengan mekanisme penghalaan pintar yang memberikan kelajuan muat turun dan muat naik yang lebih pantas.

Katanya, ini lanjutan daripada aktiviti naik taraf TM di Pusat Internet Kampung Pinggan-Pinggan di Pitas, Sabah dengan sambungan fiber optik 300Mbps bagi memberi manfaat kepada masyarakat di sekitar kawasan terbabit.

“FIRA masih lagi baharu dalam peringkat percubaan dan teknologi ini memberi liputan hingga empat kali ganda jalur lebar.

“Teknologi ini juga akan meneroka jalur lebar tetap untuk capaian yang lebih laju,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran kempen bulan kebangsaan TM di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah dan Pengerusi TM, Tan Sri Mohd Bakke Salle.

Sempena pelancaran itu, Saifuddin turut membuat panggilan video dengan Veveonah Mosibin di Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah yang baru-baru ini mendapat perhatian apabila terpaksa menduduki peperiksaan dalam talian dari atas pokok bagi mendapatkan akses internet.

Panggilan video di antara Saifuddin dan Veveonah itu direalisasikan melalui penggunaan FIRA.

FIRA dijangka akan dikomersialkan tidak lama lagi bagi menyokong usaha kerajaan dalam memacu pendigitalan di Malaysia.

Sementara itu, Saifuddin menyeru semua pihak termasuk agensi kerajaan dan badan berkanun untuk membantu mempromosikan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Kita memutuskan untuk meminta kerjasama daripada semua pihak supaya melipatgandakan usaha serta menjayakan sambutan hari kemerdekaan menggunakan platform digital termasuk media sosial berikutan ini kali pertama kita meraikannya dengan kebiasaan baharu tidak seperti kelazimannya.

“Kementerian menyeru supaya semua memainkan peranan mereka masing-masing termasuk memainkan lagu-lagu kebangsaan sepanjang bulan kemerdekaan ini,” katanya.