NAZA Communications Sdn Bhd, penyedia infrastruktur komunikasi yang juga anak syarikat kepada Kumpulan Naza melantik Darryll Danendra Sinnappa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa hari ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Naza Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, syarikat sangat mengalu-alukan lantikan ini yang disifatkan sebagai bertepatan pada masanya.

“Darryll tiba ketika kami mahu meluaskan strategi pertumbuhan dan mempercepat potensi Naza Communications dalam perniagaan infrastuktur komunikasi di negara ini.

“Berdasarkan pengalamannya dalam industri, ia akan menjadi aset utama dalam memanfaatkan suasana pasaran yang sentiasa berubah serta untuk pelan jangka masa panjang perniagaan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Naza Communications ditubuhkan pada 2013 adalah salah satu daripada perniagaan teras buat Kumpulan Naza yang sudah mengukuhkan kedudukan dan perkembangannya sejak tujuh tahun lalu.

Melalui kepakaran selama 20 tahun dalam bidang komunikasi, Darryll sebelum ini pernah berkhidmat dengan Kumpulan edotco dan memegang jawatan pengurusan atasan di Malaysia, Bangladesh dan Pakistan sebelum jawatan terakhir sebagai Pengarah Urusan Negara edotco di Sri Lanka.