PERODUA kini membuka tempahan Perodua Myvi versi 2020 dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan serta warna luaran baharu menarik.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, sebelum ini sistem Bantuan Pemanduan Selamat (ASA) hanya ada pada varian 1.5 AV dan versi yang dipertingkatkan iaitu ASA 2.0 disediakan untuk varian 1.5 AV dan 1.5 H serta ditawarkan secara pilihan pada 1.3 X.

“Dengan kedatangan ASA 2.0, Perodua Myvi kini membawa tahap keselamatan dalam julat harga ini kepada aras yang baharu. Ciri itu juga kini terdapat pada lebih banyak varian.

“Dengan Myvi terkini, Perodua terus membawa teknologi keselamatan canggih kepada rakyat dengan menjadikannya mampu milik,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya, Myvi versi ini boleh didapati dalam warna luaran baharu iaitu Electric Blue (untuk semua varian), Ivory White, Glittering Silver, Lava Red dan Granite Grey (kini untuk semua varian kecuali 1.3 G).

Untuk varian 1.3 G MT, ia ditawarkan pada harga RM41,292; 1.3 G AT (RM43,029); 1.3 X AT (RM44,959); 1.3 X AT (dengan ASA 2.0 baharu, RM46,959); 1.5 H AT (dengan ASA 2.0 baharu, RM50,530) dan 1.5 AV AT (ASA dipertingkatkan ke 2.0 baharu, RM52,697).

Semua harga atas jalan sebelum insurans di Semenanjung Malaysia, mengambil kira pengecualian cukai jualan oleh pihak kerajaan yang akan berlangsung hingga 31 Disember 2020.

Katanya, Sistem ASA yang membantu mengurangkan risiko perlanggaran muncul buat kali pertama melalui Perodua Myvi generasi ketiga pada 2017 merangkumi Amaran Prapelanggaran (sehingga 30 km/j), Brek Prapelanggaran (sehingga 30 km/j), Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Kesilapan Pedal.

ASA 2.0 pula muncul melalui Aruz buat julung kali pada 2019. Sistem ini menambah ciri Pengesan Pejalan Kaki (sehingga 50 km/j) dan meningkatkan kelajuan operasi Amaran Prapelanggaran dan Brek Prapelanggaran masing-masing kepada 100 km/j dan 80 km/j.

ASA 2.0 kemudian diperkenalkan pada Axia 2019 dan Bezza 2020 dan kini pada Myvi yang terus didatangkan dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).