PLATFORM e-dompet tempatan, Boost dengan kerjasama syarikat sekutunya, Aspirasi yang juga penyedia perkhidmatan kewangan digital melancarkan Aspirasi Protect, perlindungan insurans tujuh hari pada harga hanya RM1.50 dan disertakan dengan Covid-19 Assist.

Pelan insurans mikro ditawarkan Aspirasi menyediakan perlindungan mampu milik, mudah diakses dan mengikut keperluan bagi menyuntik keyakinan di hati rakyat ketika negara melonggarkan kawalan.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost, Mohd Khairil Abdullah berkata, solusi insurans mikro oleh Aspirasi memperkasakan tiang Protect dalam kempen #BoostGotYou dilancarkan ketika PKP dan bertumpukan usaha memenuhi keperluan harian perniagaan dan isi rumah sewaktu penularan wabak.

“Dengan hanya RM1.50, perlindungan tujuh hari Aspirasi Protect menawarkan perlindungan sehingga RM37,500 untuk kematian akibat kemalangan pelbagai jenis, RM12,500 untuk perlindungan penyakit kritikal seperti koma atau kecederaan kepala traumatik, dan manfaat perkabungan sebanyak RM5,000 jika berlaku kematian akibat kemalangan,” katanya.

Menurutnya, memandangkan Covid-19 berkemungkinan menjadi risiko kesihatan buat tempoh yang lama, pelan disertakan dengan bantuan kewangan tambahan RM200 sehari sepanjang tempoh rawatan di hospital sehingga maksimum 60 hari jika disahkan positif Covid-19 dan bantuan kewangan RM20,000 jika berlaku kematian disebabkan virus itu.

Bagi menggalakkan pengguna memperoleh perlindungan dan liputan insurans, Boost menawarkan pulangan tunai 100 peratus kepada pengguna menyertai pelan insurans tujuh hari dari kini sehingga 15 Julai.

Pengguna boleh mendaftarkan diri dalam applikasi di tile Boost Protects, dan mengklik laman mikro Aspirasi Protect.

Pengguna hanya perlu mengisi maklumat peribadi dan membuat bayaran dengan Boost untuk menikmati perlindungan selama satu minggu.