Johor Bahru: Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia (IRDA) menyasarkan seramai 1,668 keluarga isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) akan menerima manfaat menerusi pelaksanaan Program Iskandar Malaysia (IM) Makmur.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Ismail Ibrahim berkata, sejumlah RM4 juta diperuntukkan di bawah Kumpulan Wang Projek Sosial Iskandar Malaysia bagi melaksanakan program berkenaan.

“Kami bersyukur sehingga kini, lebih 300 golongan sasar terbabit secara langsung dalam inisiatif ini, manakala lebih daripada 1,200 bilangan ahli keluarga mereka mendapat manfaat program dengan purata pendapatan meningkat 58 peratus.

“Kami menyasarkan seramai 1,668 keluarga kumpulan B40 dan 6,672 isi rumah mendapat manfaat inisiatif ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ismail berkata, komponen teras program IM Makmur adalah berasaskan peningkatan kemahiran masyarakat yang berdepan kekangan dari segi keupayaan untuk menyara kehidupan bagi membantu mereka menambah penjanaan pendapatan.

Selain golongan berpendapatan rendah, program itu turut membantu mereka yang mempunyai ketidakupayaan dari segi fizikal selain golongan ibu tunggal.

“Program ini menawarkan pelbagai jenis latihan merangkumi mekanik motor, keusahawanan, aspek penjagaan kecantikan, penyediaan dan pengendalian makanan serta penjagaan materniti,” katanya.

Menurut Ismail, IM Makmur terbahagi kepada tiga Skim Bantuan iaitu Skim Penjanaan Pendapatan, Bantuan Pendidikan Generasi Kedua dan Bantuan Dana IM Makmur.

Ini termasuk merangkumi kursus latihan jangka pendek bagi meningkatkan ilmu dan kemahiran dalam pekerjaan dan perniagaan, insentif untuk majikan bagi pengambilan pekerja, Komuniti Perusahaan Sosial, pemberian dana kepada entiti badan bukan kerajaan (NGO) atau organisasi sosial untuk melaksanakan program sosio-ekonomi kepada golongan sasaran.

Aspek lain adalah insentif prasekolah dan bantuan yuran tuisyen bagi calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pada masa sama, katanya, pihaknya akan terus memperkasa program itu bagi membantu lebih ramai anggota masyarakat yang memerlukan.

“IRDA mendapat kerjasama baik daripada Yayasan Penyayang Iskandar Puteri dan akan terus mengadakan kerjasama strategik.

“Usaha secara strategi juga akan terus dilakukan bagi memperluas tawaran di bawah program IM Makmur ke seluruh pelusuk Iskandar Malaysia agar lebih ramai golongan B40 mendapat manfaat serta menikmati kemudahan yang disediakan,” katanya.