Kuala Lumpur: Agrobank mula menerapkan prinsip pemerkasaan wanita dengan memperkenalkan beberapa amalan baharu di tempat kerja yang akan dilaksanakan secara berperingkat di samping terus berusaha untuk memperkenalkan inisiatif baharu khusus untuk usahawan wanita.

Penanggung Tugas Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar berkata, sesebuah organisasi dan majikan harus memainkan peranan dengan mewujudkan peluang pertumbuhan kerjaya bagi pekerja wanita tanpa mereka perlu memikirkan mengenai urusan anak-anak dan keluarga dengan membenarkan pengaturan kerja fleksibel dan amalan mesra keluarga, yang mampu meningkatkan produktiviti organisasi.

“Agrobank mengamalkan pelaksanaan jadual kerja fleksibel dengan membenarkan pekerjanya untuk masuk ke pejabat antara jam 8 pagi dan jam 10 pagi sejak tahun 2020 sebaik penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan.

“Kami dapati langkah ini memberi ruang pengurusan masa yang lebih selesa kepada pekerja berkeluarga, khususnya wanita, supaya apabila mereka sampai di pejabat, mereka tidak perlu lagi memikirkan urusan berkaitan anak dan keluarga,” katanya.

Menurutnya, Agrobank mempunyai kepelbagaian komposisi lelaki dan wanita dalam tenaga kerja dan sudah mempraktikkan prinsip pemerkasaan wanita di peringkat pengurusan tertinggi Bank di mana empat daripada 10 jawatan peringkat pengurusan tertinggi dipegang oleh wanita.

“Di peringkat ahli lembaga, peratusan lembaga pengarah wanita adalah lebih sedikit 40 peratus dengan tiga daripada tujuh orang ahli lembaga pengarah terdiri daripada golongan wanita pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, Agrobank dimandatkan oleh kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan bagi semua aspek komuniti berkaitan sektor pertanian, dengan penawaran produk dan perkhidmatan yang dibangunkan khusus untuk manfaat golongan wanita.

“Agrobank melancarkan produk Agro Farah-i, produk eksklusif buat wanita yang menerapkan elemen hibah dikongsikan bersama setiap akaun yang ditandakan di bawah pemilik akaun Agro Farah-i, seperti akaun suami atau anak.

“Kami mempunyai produk mikro kredit Agro Nisaa’-i untuk kemudahan usahawan wanita yang memerlukan pembiayaan tambahan dalam meluaskan perniagaan mereka,” katanya.