Kuala Lumpur: Perdagangan luar Malaysia menunjukkan prestasi yang baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang tahun lalu dengan eksport kembali pulih pada separuh kedua 2020 berbanding pertumbuhan negatif pada separuh pertamanya.

Menteri Kanan yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, prestasi baik ini dapat dikaitkan dengan pembukaan ekonomi yang progresif dan pemulihan permintaan luaran secara beransur-ansur.

Katanya, terdapat pertumbuhan eksport yang signifikan ke pasar negara berkembang, terutama Costa Rica, Kazakhstan, Kenya, Nigeria, Ghana dan Cote d’Ivoire.

“Sebenarnya, eksport pada bulan Disember adalah nilai bulanan tertinggi yang dicatat untuk tahun 2020, dengan eksport ke China mencatatkan rekod baharu tertinggi tahun lalu dan momentum sama dilaporkan untuk Amerika Syarikat yang mencatat nilai terbesar dalam dekad terakhir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, produk getah, elektrik dan elektronik (E&E), minyak sawit serta produk pertanian berasaskan minyak sawit mencatat pengembangan eksport kukuh.

Sementara itu, nilai perdagangan dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang ada pada 2020 berjumlah RM1.185 trilion, mencatatkan penurunan sebanyak 3.7 peratus dan menyumbang 66.7 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.

Bagaimanapun, menerusi perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) baru-baru ini, FTA terbesar di dunia itu bakal menyediakan syarikat dan perniagaan Malaysia akses lebih satu pertiga pasaran dunia, menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan akan memberi keuntungan kepada pertumbuhan eksport negara.