KUMPULAN jakel komited memberi lebih banyak ganjaran kepada pelanggannya dengan melanjutkan promosi Jakel Cashback Deals untuk tempoh sebulan lagi sehingga 13 April ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, pihaknya menawarkan pulangan tunai sehingga 10 peratus sempena promosi terbabit.

Katanya, sejak dilancarkan 12 Februari lalu, lebih 100,000 pelanggan Jakel di seluruh Malaysia menikmati rebat tunai terkumpul berjumlah RM4.27 juta setakat 9 Mac.

“Disebabkan sambutan yang begitu menggalakkan kami melanjutkan promosi ini sebulan lagi, sekali gus menyasarkan pulangan tunai sebanyak RM15 juta.

“Pemberian semula rebat tunai ini adalah sebagai tanda keprihatinan dan terima kasih Jakel kepada pelanggan yang sentiasa menyokong kami sebagai gedung tekstil terbesar tanah air.

“Kami menyasarkan menjana sehingga RM150 juta jualan sepanjang dua bulan promosi ini, sekali gus memberikan pulangan rebat tunai berjumlah RM15 juta kepada pelanggan,” katanya pada sidang media promosi Jakel Cashback Deals dan Barulah Raya 2021 di sini, semalam.

Menurutnya, Jakel menjadi syarikat pertama menawarkan promosi pulangan tunai bagi memberi penjimatan terbaik kepada orang ramai serta menggunakan semula wang tunai itu untuk berbelanja.

Mohamed Faroz berkata, pihaknya mengajak semua pelanggan berkunjung ke 22 cawangan Jakel di seluruh negara bagi merebut tawaran promosi yang julung kali diadakan ini.

Sementara itu, beliau berkata, Jakel turut melancarkan kempen Jakel Barulah Raya 2021 selama sebulan bermula 14 Mac hingga 13 April ini dengan menawarkan diskaun sehingga 75 peratus untuk semua produknya.

Katanya, selain tawaran diskaun pelanggan juga berpeluang menikmati pulangan tunai 10 peratus.

“Pelbagai rekaan baju siap pelbagai warna dan corak akan dijual termasuk baju Melayu, kurta, koleksi pakaian wanita dan kanak-kanak dengan fesyen terkini akan tiba secara berperingkat mula pertengahan bulan ini.

“Selain Jakel, atas permintaan ramai, kami turut melancarkan promosi pulangan tunai untuk koleksi Ariani selama 10 hari bermula 26 Mac hingga 4 April.

“Kami menyasarkan jualan sebanyak RM15 juta untuk tudung Ariani sepanjang tempoh promosi ini,” katanya.