Kuala Lumpur: Honda Malaysia akan menawarkan cenderahati edisi khas sempena pencapaian jualan satu juta unit kenderaan di Malaysia secara eksklusif di Shopee mulai 1 April ini.

Sempena pelancaran rasmi koleksi berkenaan, Honda Malaysia akan menawarkan ganjaran istimewa berupa baucar prapelancaran bernilai RM20 yang sama nilai dengan 2,000 Shopee Coins.

Pelanggan boleh mendaftar untuk mendapatkan baucar berkenaan di Facebook rasmi Honda Malaysia mulai 17 hingga 28 Mac ini dan kod unik baucar akan dihantar kepada pelanggan pada 31 Mac ini.

Penggunaan kod baucar itu bergantung kepada 1,001 pelanggan terawal di mana mereka boleh mendapatkan cenderahati edisi istimewa Honda di Shopee.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, kempen berkenaan dilancarkan bukan saja untuk meraikan pencapaian Honda Malaysia sebaliknya ia adalah tanda terima kasih atas sokongan yang diberikan untuk jenama Honda.

“Kempen ini dijalankan dengan kerjasama jenama pakaian Pestle & Mortar Clothing (PMC) yang akan menyuntik gaya dan rekaan menarik bagi koleksi yang ditawarkan.

“Koleksi ini adalah penghargaan kami kepada rakyat Malaysia yang menyumbang kepada kejayaan Honda sehingga mampu mencapai jualan sejuta unit kenderaan.

“Ia mengetengahkan idea sejuta impian dipacu oleh sejuta individu,” katanya.

Koleksi ini ditawarkan dalam jumlah terhad yang meliputi rekaan untuk topi, kemeja-T, kemeja dan jaket.