Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperkenalkan platform perkhidmatan perbankan digital, Quick Response to Entrepreneur (QR2E) khusus untuk usahawan tempatan.

QR2E adalah satu lagi inisiatif terbaharu Bank Rakyat dalam membudayakan keusahawanan serta membantu komuniti yang kurang atau tidak mendapat perhatian untuk menceburi sektor keusahawanan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, inisiatif ini adalah pendorong dalam mencapai matlamat menjadi negara keusahawanan sepenuhnya menjelang 2030.

“Bank Rakyat sentiasa progresif dalam memanfaatkan teknologi bagi memastikan bank terus kekal relevan serta lestari bagi memenuhi keperluan perbankan Islam milenial.

“Kami melihat pembinaan QR2E ini amat bersesuaian dengan kehendak situasi masa kini serta penerapan norma baharu apabila segalanya di hujung jari pelanggan tanpa perlu hadir secara fizikal,” katanya dalam satu kenyataan.

Berkonsepkan mesra pengguna, QR2E adalah medium untuk Bank Rakyat mendekati usahawan di seluruh negara tanpa sempadan secara komprehensif, mudah dan cepat.

Menjadikan usahawan mikro, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta koperasi sebagai sasaran utama penggunanya, QR2E dibangunkan bagi memudahkan mereka mendapatkan khidmat nasihat dari aspek kewangan serta pengurusan perniagaan.

Lebih menarik lagi apabila pelanggan boleh memohon pembiayaan serta membuat janji temu di lokasi yang dipilih pelanggan.