Kuala Lumpur: Sukuk Prihatin iaitu inisiatif kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) terlebih langgan dengan jumlah langganan bernilai lebih RM666 juta.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, nilai itu melepasi sasaran penerbitan asal berjumlah RM500 juta.

“Memandangkan sambutan yang amat memberangsangkan daripada pemohon yang layak, kerajaan memutuskan untuk menerbitkan langganan tambahan bernilai RM166 juta,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, sukuk itu diterbitkan oleh kerajaan dengan tujuan memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyumbang ke arah usaha membina semula negara pasca-Covid-19.

Tempoh langganan dibuka pada 18 Ogos lalu dan ditutup pada 17 September 2020.

Tengku Zafrul berkata, dana terbitan Sukuk Prihatin akan disalurkan kepada Kumpulan Wang Covid-19 untuk pelaksanaan langkah pemulihan ekonomi seperti menambah baik kesalinghubungan sekolah luar bandar, menyokong usaha penyelidikan penyakit berjangkit dan membiayai usahawan mikro.

“Sukuk Prihatin dilanggan menerusi JomPAY dan/atau DuitNow yang diakses melalui platform perbankan digital 27 bank di Malaysia dengan Maybank sebagai bank pengedar utama.

“Langganan dalam talian ini adalah satu pencapaian yang membanggakan dan melakar sejarah buat sukuk digital yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Kerajaan mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang melanggan Sukuk Prihatin. Lebihan langganan dan kejayaan penerbitan Sukuk Prihatin adalah bukti semangat satu hati dan kerjasama rakyat Malaysia dalam menghadapi tempoh yang mencabar ini, selaras dengan tema #MalaysiaPrihatin.

“Kerajaan percaya, semangat ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing,’ ini yang akan menjadikan Malaysia negara lebih teguh,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, berdasarkan penutupan tempoh langganan pada 17 September, Sukuk Prihatin akan diterbitkan pada 22 September 2020 dengan tempoh matang dua tahun.

“Ia menawarkan kadar keuntungan sebanyak 2.0 peratus setahun yang akan dikecualikan cukai dan dibayar setiap suku tahunan,” katanya.

Katanya, pemegang sukuk juga mempunyai pilihan untuk menderma sebahagian atau keseluruhan jumlah prinsipal langganan apabila tempoh pelaburan matang pada 21 September 2022.