Kuala Lumpur: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mempercepat eksport dan mengekalkan kehadiran di peringkat global menerusi Program eTRADE 2.0 yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, ciri tambahan inisiatif pemudah cara eksport eTRADE yang dipertingkatkan itu seperti aktiviti pemasaran digital dan latihan berkaitan e-dagang.

“Dengan peningkatan saiz pasaran e-dagang global dan di sebalik sekatan perjalanan pada masa ini, tiada masa yang lebih baik bagi PKS Malaysia untuk memanfaatkan platform e-dagang bagi mengekalkan dan mempercepat eksport mereka,” katanya dalam kenyataan.

Di bawah Program e-TRADE 2.0, PKS Malaysia akan ditawarkan dua skim inisiatif pemudah cara eksport iaitu Skim Onboarding dan Skim Pemasaran Digital dan Latihan (DMT).

Menerusi Skim Onboarding itu, PKS yang memenuhi syarat layak menggunakan hingga RM5,000 setiap syarikat dalam bentuk bayaran balik untuk perbelanjaan mereka yang digunakan dalam platform e-dagang rentas sempadan pilihan.

PKS juga dibenarkan menyertai pelbagai platform di bawah Skim Onboarding, sekali gus membolehkan ia mempunyai lebih banyak pilihan platform e-dagang yang sesuai dengan keperluan dan pasaran sasaran.

Sementara itu, bagi Skim DMT, PKS yang memenuhi syarat akan menerima sehingga RM20,000 setiap syarikat dalam bentuk bayaran balik untuk perbelanjaan yang digunakan bagi aktiviti pemasaran digital di luar negara serta program latihan e-dagang berkaitan yang dipilih.

Aktiviti itu yang termasuk di dalam dua skim itu memperlihat komitmen Matrade untuk merealisasikan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) kerana eTRADE 2.0 adalah selaras dengan Teras 2: Meningkatkan Daya Saing Ekonomi Melalui Digitalisasi.

PKS Malaysia boleh memohon program itu mulai 1 Mac 2021.